Lapor pada polis ada pihak luar ke Perlis - Utusan Malaysia

Lapor pada polis ada pihak luar ke Perlis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Orang ramai diminta melaporkan kepada polis sekiranya terdapat kehadiran pihak luar yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) termasuk berkumpul di rumah pada Hari Raya Aidiladha.

Setiausaha Kerajaan negeri,  Azman Mohd. Yusof berkata, kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), persatuan penduduk dan Komuniti Rukun Tetangga (KRT) diperlukan untuk memantau kawasan kejiranan masing-masing.

Katanya, menjelang Hari Raya Aidiladha berkemungkinan ada pelbagai pihak cuba memasuki atau menyelinap melalui lorong-lorong tikus untuk pulang ke negeri ini.

“Kita minta semua penduduk terutama JPKK, persatuan penduduk dan KRT agar melaporkan kepada polis sekiranya ada orang luar yang masuk tanpa kebenaran,” katanya ketika ditemui selepas memantau sekatan jalan raya (SJR) di Lebuh Raya Changlun – Kuala Perlis sini hari ini.

Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan, menjelang Hari Raya Aidiladha minggu depan, Menteri Besar dan Ketua Polis negeri ini memberi amaran kepada orang luar ‘jangan berani-berani’  masuk Perlis yang kerap merekodkan sifar kes jangkitan  Covid-19.

Susulan kejayaan Perlis menguruskan wabak tersebut menarik perhatian netizen membuat jenaka seperti `Rasa mahu pindah ke Perlis’. Perlis kini berada pada fasa kedua  Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Tambah Azman, pihaknya juga akan meminta kerjasama pihak polis dan agensi keselamatan lain untuk memperketatkan lagi pemeriksaan serta kawalan di semua SJR dan lorong-lorong tikus.

“Kita harap tidak ada mana-mana individu yang masuk ke negeri ini tanpa kebenaran kerana kita nak jaga keselamatan warga Perlis daripada dijangkiti Covid-19,” ujarnya.

Seterusnya beliau berkata, mana-mana individu yang mahu masuk ke Perlis atas sebarang urusan dengan kebenaran perlu memastikan diri tidak mempunyai simptom-simptom berkaitan Covid-19.

“Jika rasa kurang sihat seperti demam atau batuk, elakkan masuk ke Perlis yang mana mereka boleh buat ujian saringan Covid-19 bagi pengesahan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN