Lantik PM interim yang mampu tangani krisis negara - Utusan Malaysia

Lantik PM interim yang mampu tangani krisis negara

JOHARI ABDUL GHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Johari Abdul Ghani berpandangan, seorang perdana menteri interim berwibawa perlu dilantik yang mampu membawa negara keluar dari krisis Covid-19 dan krisis ekonomi negara.

Bekas Menteri Kewangan II itu berkata, pelantikan itu dengan pembentukan kerajaan interim boleh diadakan memandangkan UMNO telah menarik balik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Namun, kata beliau, perdana menteri interim mempunyai tugas dan tanggungjawab besar bagi memulihkan imej negara yang telah rosak sejak bermulanya krisis Covid-19 tahun lalu, yang dianggap gagal ditangani dengan baik oleh Muhyiddin.

“Kita perlukan pemimpin yang mempunyai keupayaan dan daya kepemimpinan dalam menangani krisis. 

“Ini bukan sebab politik. Ini adalah sebab negara kita yang tercinta telah menderita akibat ketiadaan kepimpinan yang berkaliber. Kita perlukan seseorang yang berupaya untuk membawa kita keluar dari pandemik ini, seseorang yang sesuai dan sihat, serta mendapat kepercayaan majoriti rakyat, orang awam dan ahli-ahli Parlimen,” katanya.

Pada masa sama, Johari berpendapat, kerajaan interim perlu diperkuat dengan individu berkaliber dari pelbagai sektor termasuk daripada blok pembangkang.

“Perdana Menteri interim seharusnya mampu menyusun strategi, merancang dan memantau setiap pelaksanaan tindakan secara kolaboratif sebagai sebuah negara tanpa mementingkan populariti atau pengaruh politik.

“Kita juga perlukan pengalaman dan kepakaran beberapa pemimpin muda berbakat dalam pembangkang sama ada dalam PKR, DAP, Amanah atau orang profesional di luar sana untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan sementara ini untuk menyelamatkan negara ini, dan kita perlu lakukannya,” katanya.

Johari juga menyifatkan bahawa kerajaan perlu diperkukuh oleh individu yang mempunyai pelbagai latar belakang tidak kira bangsa, agama, fahaman politik atau status digabungkan dalam memerangi wabak dan menghidupkan kembali ekonomi.

“Ada pihak yang mungkin mahukan kerajaan Melayu Islam. Tetapi kita harus praktikal dan ingat bahawa kerajaan Melayu-Muslim tanpa pakar dan pengalaman yang diperlukan untuk menangani wabak ini tidak akan membantu sesiapa pun termasuk penduduk Melayu Islam.

“Virus Covid-19 tidak menghormati bangsa atau agama. Semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama, pandangan politik dan kelayakan pendidikan, sedang sengsara atau menderita. Inilah masanya bagi semua rakyat Malaysia untuk bersatu dan bekerja sebagai satu pasukan untuk mengalahkan penyakit dan menghidupkan semula ekonomi supaya kita semua dapat bertahan dan hidup dengan lebih baik,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.