Langkawi destinasi rintis pelancongan bebas Covid-19

Langkawi destinasi rintis pelancongan bebas Covid-19

NANCY Shukri (dua dari kiri) melawat PPV di LICC, Langkawi hari ini. - UTUSAN/NUR AMALINA AZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya memilih pulau peranginan ini sebagai destinasi rintis pelancongan bebas Covid-19 atau gelembung hijau pelancongan menjelang September depan.

Menerusi program itu, sebanyak 80 peratus populasi penduduk di pulau tersebut akan menerima suntikan vaksin bagi mencapai tahap imuniti kelompok dalam tempoh berkenaan.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pulau ini dipilih sebagai destinasi rintis tersebut untuk menyemarakkan kembali industri yang telah lama terjejas akibat penularan Covid-19 memandangkan kedudukan pulau berkenaan terasing.

“Destinasi rintis yang dipilih ini mempunyai kekuatan sendiri seperti mempunyai rangkaian penerbangan serantau dan antarabangsa serta kemudahan penginapan bagi pelbagai lapisan segmen pelancong,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada pembukaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC), di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor.

Nancy memberitahu, jumlah penduduk di pulau ini yang layak menerima vaksin dianggarkan kira-kira 76,400 orang daripada keseluruhan penduduk yang berjumlah 111,500 orang.

Menurutnya, seramai 61,313 orang penduduk terbabit telah mendaftar untuk vaksinasi sehingga 12 Julai lalu.

“Daripada jumlah itu, bilangan penerima vaksin dos pertama adalah seramai 27,362 orang manakala dos kedua pula 20,465 orang.

“Ini bermakna hanya 30 peratus jumlah penduduk yang mendaftar telah menerima dos lengkap dan angka ini masih rendah,” ujarnya.

Beliau berkata, pembukaan PPV Integrasi di LICC ini dengan kapasiti penerima vaksin disasarkan seramai 3,000 orang sehari akan mempercepatkan proses vaksinasi di pulau ini.

“Usaha program ini untuk memastikan sektor pelancongan mampu menjana semula pendapatan secara berterusan kepada negara selepas sektor ini dapat dibuka semula secara berperingkat.

“Enam lagi lokasi di seluruh negara iaitu Pulau Pinang, Melaka, Johor, Kuala Lumpur, Pahang dan Sabah akan menjadi lokasi seterusnya bagi program gelembung hijau pelancongan tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN