ALOR SETAR: Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) memperkenal Pelan Pemulihan Pelancongan Langkawi (T-Rec) 2021-2022 untuk membantu memulihkan ekonomi dan mengembalikan kepercayaan serta keyakinan pelancong berkunjung ke pulau peranginan itu secepat mungkin.
Pengerusi Bersama Jemaah Pengarah LADA, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, menerusi pelan jangka pendek itu, pihaknya menyasarkan pendapatan daripada pelancongan di pulau tersebut sebanyak RM288.4 juta dalam tempoh September hingga Disember 2021.
Menurutnya, jangkaan hasil pendapatan itu boleh dicapai menerusi kedatangan pelancong seramai 590,000 orang dalam tempoh tersebut.
“Bagi tahun 2022 pula, LADA menganggarkan Langkawi akan menjadi RM1.17 bilion pendapatan dan menerima hingga 2.5 juta pelancong.
“Pelan iini merangkumi tiga fasa, lapan strategi dan 24 inisiatif yang akan dilaksanakan dalam tempoh enam bulan hingga setahun menerusi sokongan serta penglibatan pelbagai pemegang taruh terutamanya pemain industri dan agensi kerajaan terlibat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Antara strategi yang akan dilaksanakan adalah menggalakkan inisiatif gelembung pelancongan domestik dan antarabangsa dengan mempamerkan Langkawi sebagai projek rintis bagi pemulihan industri pelancongan, selain mengoptimumkan kandungan promosi menerusi pelbagai platform digital serta konvensional.
Perkara tersebut telah dibentang dan dipersetujui dalam Mesyuarat Lembaga Pengarah LADA yang diadakan secara dalam talian, hari ini.

Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar berkata, LADA turut bersetuju memberi pengecualian atau pengurangan kadar sewa premis niaga dan bayaran yuran pengurusan produk komersial miliknya bagi membantu meringankan beban kewangan mereka yang terlibat.
“Pengecualian serta pengurangan kadar sewa itu telah dilaksanakan pada Januari hingga Jun 2021 melibatkan jumlah keseluruhan RM1.2 juta.
“Terdapat tiga kategori yang mendapat manfaat daripadanya iaitu penyewa premis perniagaan, operator serta syarikat di bawah perjanjian pengurusan serta penyewa tanah komersial,” katanya.
Tambahnya, langkah lain yang diambil bagi membantu komuniti Langkawi memperbaiki kehidupan harian adalah sumbangan menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR) LADA.
“Sepanjang Januari hingga Jun tahun ini, sebanyak RM91,400 telah dibelanjakan di bawah dana CSR LADA.
“Penyaluran ini telah dilaksanakan kepada 18 pertubuhan dan fokus utama adalah melibatkan latihan kemahiran, penyampaian bantuan bakul prihatin serta pembelian peralatan atau pembaikan kecil pusat komuniti,” katanya. – UTUSAN ONLINE










