KKM, doktor akan nilai individu tidak lengkap dua dos vaksin

KKM, doktor akan nilai bekas pesakit Covid-19, individu tidak lengkap dua dos vaksin

ISMAIL Sabri Yaakob (dua dari kiri) menerima replika cek sumbangan MINDEF Prihatin bernilai RM50,000 dari Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd. Muazzam Mohamed (dua dari kanan) sempena pelancaran Program MINDEF Prihatin di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur, hari ini.  Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abd. Aziz (kanan) dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Muez Abd. Aziz. - FOTO/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan dan pegawai perubatan akan membuat penilaian terhadap penerima yang mungkin tidak dapat melengkapkan suntikan dos kedua vaksin Covid-19.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pertimbangan itu juga dibuat melibatkan bekas-bekas pesakit Covid-19 yang mendapat antibodi selepas dijangkiti wabak sama ada masih perlu divaksinasi atau sebaliknya.

“Perkara ini akan ditentukan oleh Kementerian Kesihatan. Sebab setiap kali mahu ambil vaksin, sebelum tandatangan (pada borang), doktor akan beri penjelasan, dia akan tanya jika ada alahan atau sebab-sebab lain tidak mengambil vaksin Covid-19.

“Semuanya dijelaskan oleh doktor atau jururawat yang bertugas. Jadi, kalau ada sahaja yang berkait dengan kesihatan termasuk selepas kena Covid-19, ada beberapa bulan tidak boleh ambil vaksin, ini semua akan ditentukan doktor,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Mindef Prihatin di Wisma Pertahanan, di sini hari ini.

Ismail Sabri mengulas soalan pemberita tentang nasib bagi individu yang mungkin tidak dapat meneruskan vaksinasi dos kedua akibat alahan yang teruk dan bekas pesakit Covid-19 yang sudah mendapat imuniti selepas dijangkiti wabak berkenaan.

Ini berikutan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini memaklumkan kelonggaran termasuk keluar membeli-belah atau sekurang-kurangnya merentas daerah bagi individu yang sudah melengkapkan dos suntikan vaksin Covid-19 yang akan diputuskan minggu ini.

Pakar-pakar kesihatan berpandangan, kerajaan perlu menjelaskan dengan lebih mendalam tentang bentuk ‘kelonggaran’ tersebut yang dibimbangi akan mewujudkan diskriminasi kepada individu tidak dapat menerima dos kedua vaksin akibat alahan dan bekas pesakit Covid-19 yang tidak perlu divaksinasi dalam tempoh beberapa bulan.

Jika berlaku, ini mungkin mengakibatkan kumpulan terbabit tidak menerima manfaat sama ketika syarat-syarat semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilonggarkan hanya untuk penerima dos lengkap vaksin.

Mengulas lanjut, kata Ismail Sabri, Majlis Pemulihan Negara (MPN) akan mengumumkan kelonggaran tersebut selepas Hari Raya Aidiladha bermula esok.

“Kita akan beri kelonggaran kepada rakyat yang telah mendapat dua dos vaksin. Sekarang jawatankuasa teknikal sedang mengkaji secara terperinci siapa yang boleh bergerak dan dilonggarkan untuk yang mendapat dua dos vaksin.

“Malah, kerajaan juga sedang mengkaji sektor mana yang boleh dilonggarkan apabila mendapat dua dos vaksin. Jadi, selepas Aidiladha kita akan umumkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN