SUNGAI PETANI: Tiada pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) membabitkan kilang di kawasan Perindustrian Bakar Arang dan Sungai Lalang dikesan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa lokaliti di sini, mulai Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, pemeriksaan harian yang dijalankan pihaknya mendapati sebanyak 76 buah kilang di kawasan terbabit menutup operasi masing-masing.
“Setakat ini, pengusaha kilang didapati mematuhi penguatkuasaan PKPD serta arahan SOP melibatkan sektor perkilangan yang ditetapkan.
“Bagaimanapun kita akan terus memantau keadaan dan sehingga kini kita tidak menerima aduan berkaitan pelanggaran SOP melibatkan kilang di kawasan berkenaan,” katanya.
Kawasan Perindustrian Bakar Arang dikenakan antara lokasi PKPD bermula Isnin lalu selepas peningkatan kes Covid-19 yang membabitkan pekerja tempatan dan warga negara asing di situ.
Turut terlibat ialah Taman Cahaya PKNK yang berada di dalam kawasan perindustrian yang didiami oleh 104 keluarga.
Satu lagi lokaliti yang dikenakan PKPD bermula 5 Julai hingga 18 Julai ini ialah Taman Bandar Baru dan Taman Lembah Permai di Sungai Lalang di sini.
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati, orang ramai menyambut baik PKPD yang dikenakan di kawasan itu yang membabitkan Kluster Dah Arang, kluster Dah Bakar, kluster Dah Industri 5 dan Kluster Dah Industri 11 itu.
Pekerja swasta, Muhammad Halim Hassan, 42, berkata, penutupan kilang di kawasan itu merupakan keputusan yang tepat dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19.
“Sebelum ini, daerah Kuala Muda menjadi zon merah kerana penularan wabak Covid-19 dikatakan berpunca dari kawasan kilang tersebut.
“Bayangkan empat kluster itu berpunca dari kilang di kawasan ini dan jika tidak dikenakan PKPD tentu wabak tersebut merebak ke kawasan lain,” katanya.
Ahmad Salehin, 41, pula berkata, walaupun operasi kilang di kawasan ini ditutup, namun pihak berkuasa digesa terus melakukan pemantauan dan pemeriksaan bagi mengelakkan pengusaha yang berdegil meneruskan operasi.
“Jangan lagi berlembut dengan pemilik kilang yang ingkar kerana jika dikesan masih beroperasi mereka hanya mementingkan keuntungan semata-mata tanpa memperdulikan kebajikan dan kesihatan masyarakat setempat,” katanya. – UTUSAN ONLINE









