JAKARTA – Pengawal selia hulu minyak dan gas Indonesia, SKK Migas mengumumkan penemuan 13 telaga berpotensi baharu di Samboja, Kalimantan Timur, yang mengandungi anggaran rizab sebanyak 0.96 juta tong minyak dan 330,000 meter padu gas.
“Rizab ini adalah strategik,” kata ketua SKK Migas, Djoko Siswanto kepada wartawan di Jakarta pada Isnin.
Telaga-telaga itu akan digerudi oleh PT Pertamina Hulu Sanga Sanga (PHSS), yang sudah menguruskan 79 telaga di kawasan sama.
Nilai rizab itu dianggarkan sebanyak 471 bilion rupiah (RM107 juta).
Hasil kasar daripada telaga-telaga itu dianggarkan sebanyak 355 bilion rupiah (RM81 juta), dengan hasil kerajaan dijangka sebanyak 87 bilion rupiah (RM19 juta) selepas cukai.
Penggerudian dijadualkan bermula bulan depan. Siswanto turut menyatakan penghargaan terhadap sokongan Kementerian Transmigrasi dalam memudahkan aktiviti penerokaan dan pengeluaran di kawasan itu.
“Minyak dan gas asli adalah penting untuk rakyat kita. Mencari rizab di luar negara adalah sukar dan mahal. Penemuan dalam negara ini sangat strategik,” katanya. – ANTARA










