SEREMBAN: Kerajaan diharap dapat memperluaskan pelaksanaan Operasi Lonjakan Kapasiti ke Negeri Sembilan selepas ia diumum akan dilakukan di Kuala Lumpur dan Selangor.
Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook berkata, Operasi Lonjakan Kapasiti yang bertujuan memastikan orang dewasa yang telah mendaftar dengan MySejahtera di Kuala Lumpur dan Selangor diberi vaksin untuk dos pertama sebelum 1 Ogos ini.
Katanya, ini juga perlu diperluas memandangkan Negeri Sembilan turut mencatatkan bilangan jangkitan tinggi selepas Lembah Klang.
“Saya ingin menyeru Khairy Jamaluddin (Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan) supaya memperluaskan Operasi Lonjakan Kapasiti untuk merangkumi Negeri Sembilan dalam operasi tersebut memandangkan Negeri Sembilan merupakan antara tiga negeri teratas yang mencatatkan kes positif tertinggi dengan Selangor dan Kuala Lumpur.
“Sebagai Ahli Parlimen Rembau yang merupakan kawasan dalam Negeri Sembilan, saya yakin beliau juga amat memahami keadaan di Negeri Sembilan dan merasai kebimbangan rakyat diwakilinya. Pendekatan kerjasama erat di antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam meningkatkan kadar vaksinasi seperti yang dilihat di Selangor patut dilaksanakan juga di Negeri Sembilan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kelmarin, Khairy dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham baba mengumumkan pelaksanaan Operasi Lonjakan Kapasiti untuk Kuala Lumpur dan Selangor.
Menerusinya, semua 6.1 juta populasi dewasa di dua negeri itu akan menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 menjelang 1 Ogos ini.
Ia melibatkan pemberian vaksin pada kadar 1.3 juta dos sehingga 25 Julai dan 1.3 juta dos lagi antara 26 Julai hingga 1 Ogos ini.
Dalam pada masa yang sama, Siew Fook turut menyeru supaya Khairy membenarkan semua warga emas yang berusia 60 tahun ke atas di Negeri Sembilan untuk mendapat suntikan vaksin secara ‘walk-in’ seperti dilaksanakan di Lembah Klang sejak semalam.
“Strategi untuk melaksanakan operasi bersepadu di Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan secara serentak ini diyakini mampu mengawal keadaan dalam masa beberapa minggu.
“Ia secara langsung akan membantu keadaan di seluruh negara memandangkan tiga buah negeri ini menyumbang hampir 60 peratus daripada jumlah keseluruhan kes kebelakangan ini,” katanya.










