Norhaslinda buktikan keupayaan sebagai ADUN Pangkor

Tanpa latar politik, Norhaslinda buktikan keupayaan sebagai ADUN

Norhaslinda Zakaria menyampaikan sumbangan beras kepada penduduk DUN Pangkor. – MINGGUAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEUPAYAAN Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Norhaslinda Zakaria, 50, melaksanakan amanah rakyat biarpun tanpa pengalaman politik menjadi bukti bahawa komitmen dan kesungguhan mampu mengatasi kekangan latar belakang.

Pertama kali bertanding pada PRU-15, beliau berjaya menawan hati pengundi DUN Pangkor di bawah Parlimen Lumut dan terus membuktikan kelayakannya menggalas tanggungjawab sebagai wakil rakyat DUN Pangkor.

Norhaslinda Zakaria
Umur: 50
Asal: Kampar, Perak
Pendidikan: SPM
Jawatan Dalam Parti: Exco Srikandi Bersatu Malaysia
Pengalaman Politik:
2017 – 2020- Ketua Srikandi Bersatu Lumut
2017 – 2020 – Ketua Srikandi Bersatu Perak
2022 – Ketua Wanita Bilik Gerakan Zon Timur PRN Johor
Keluarga: 6 orang anak
Prinsip Dalam Memberi Khidmat kepada rakyat:

 

Sebagai ADUN Pembangkang, akan terus berkhidmat dan tidak menjadikan kekangan peruntukan atau cabaran politik sebagai penghalang. Bekerja tanpa gentar dan menjadikan setiap cabaran sebagai pembakar semangat untuk berkhidmat dengan lebih kuat.

 

Norhaslinda, daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang berkhidmat selama 18 tahun dalam sektor perhotelan sebelum terjun ke dunia politik, mengakui pengalaman dalam pengurusan banyak membantunya memimpin di peringkat komuniti.

“Saya bukan orang politik. Saya datang daripada bidang perhotelan. Tetapi pengalaman memimpin kakitangan sebagai pengurus jualan banyak membantu,” katanya ketika ditemui di Pejabat ADUN Pangkor di Lumut.

Beliau berhenti kerja selepas kelahiran anak keenam dan mula menceburi politik pada era pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang ketika itu menimbulkan keresahan rakyat.

Titik perubahan berlaku apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad hadir ke Manjung merasmikan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), yang membuka ruang pertama untuk beliau mendekati dunia politik.
Ketika itu hanya segelintir wanita aktif dalam Bersatu Lumut, namun Norhaslinda terus menunjukkan kemampuan sehingga dilantik sebagai Ketua Srikandi Bersatu Lumut.

Pada 2017, beliau sekali lagi diberi kepercayaan memegang jawatan Ketua Srikandi Bersatu Perak yang pertama, meskipun tanpa rekod politik formal sebelumnya.

“Bayangkan orang yang tidak ada latar belakang politik tiba-tiba jadi calon DUN. Saya sendiri terkejut,” katanya.

Sebelum menjadi ADUN, beliau berpengalaman membantu jentera pilihan raya di Sabah, Melaka dan Johor, sekali gus membuka ruang pembelajaran awal tentang keperluan rakyat di pelbagai kawasan.

Dengan pengalaman itulah beliau kembali ke Pangkor dan menilai sendiri apa yang harus dilakukan untuk masyarakat setempat.
DUN Pangkor merangkumi kawasan pelbagai demografi termasuk Pulau Pangkor, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Teluk Batik, Teluk Muroh, Lumut, Teluk Senangin serta beberapa kampung dan kawasan pesisir.

Bagi komuniti TLDM yang mempunyai lebih 11,000 pengundi, Norhaslinda berkata, kebanyakan isu yang timbul melibatkan urusan pendidikan anak-anak kebanyakan isu yang timbul melibatkan urusan pendidikan anak-anak anggota.

Nelayan pula, yang menjadi sebahagian besar penduduk Pangkor, berdepan kesukaran bermusim termasuk ketika banjir, menyebabkan pendapatan mereka tidak menentu.

“Apabila ada anak lepasan SPM yang dapat tawaran belajar, kita bantu sebaik mungkin. Tidak kira latar belakang,” katanya.

Sebagai ADUN pembangkang, beliau mengakui isu peruntukan sering menjadi cabaran namun menegaskan keadaan itu tidak pernah menjadi alasan untuk mengabaikan rakyat.

Setiap kali turun padang, pasukannya membawa borang permohonan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memudahkan urusan bantuan kepada keluarga yang memerlukan.

Bagi permohonan yang tidak layak mengikut syarat JKM, beliau membantu melalui saluran lain seperti pejabat penghulu atau dokumen akuan sumpah.

Beliau turut memudah cara permohonan Perkeso bagi waris atau individu yang layak menerima manfaat perlindungan sosial.

Kerjasama baik dengan pegawai penyelaras Menteri Besar turut memudahkan penyelesaian aduan, meskipun terdapat beberapa kes rumit seperti isu tanah rizab.

Antara kejayaan beliau adalah menyelesaikan masalah bekalan air bersih di Teluk Senangin yang membabitkan 15 rumah dan sebuah sekolah tahfiz selepas setahun diperjuangkan.

Selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), keluhan peniaga di pekan Lumut yang dikatakan semakin ‘mati’ dan kurang pengunjung menjadi perhatian seriusnya.

Pembukaan jeti Marina yang menawarkan perjalanan lebih singkat ke Pulau Pangkor menjejaskan jumlah pelancong yang biasanya bertumpu di Lumut.

“Dulu ramai orang ke Lumut, tapi sekarang hanya sibuk pada cuti sekolah dan hujung minggu. Saya berharap Exco Pelancongan beri perhatian untuk bangunkan semula pekan ini,” katanya.

Selain Lumut, beberapa lokasi pelancongan lain turut memerlukan sentuhan seperti Teluk Batik yang semakin suram dan memerlukan pembaharuan dari segi kemudahan serta gerai jualan.

Teluk Senangin pula katanya sudah menunjukkan perubahan positif selepas banyak kemudahan baik pulih termasuk jalan yang sering menjadi lokasi kemalangan.

“Walaupun saya ADUN pembangkang, saya tetap berpegang pada integriti dan turun padang. Saya lebih suka serah bantuan terus ke rumah penduduk, bukan di dewan. Itu cara saya bekerja,” katanya.- UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN