Lelaki dan cermin tahun baharu

Lelaki dan cermin tahun baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Berulangkali dia memerhatikan dirinya di dalam cermin berpetak itu. Sosok tubuhnya direnungi dari atas ke bawah dengan pandangan yang serba aneh.

Matanya tajam cuba mencari setiap sudut dirinya sambil fikirannya melayang-layang jauh mengingati kisah-kisah silam yang amat menjengkelkan. Terlalu banyak kisah dan peristiwa yang ingin dipadamkan dalam kamus hidupnya.Ya,kamus hidupnya yang terconteng dengan kekhilafan dan kecelaruan.

Dia manusia sempurna yang dilahirkan tanpa cacat cela. Tubuh fizikalnya lengkap dengan segala pancaindera anugerah Tuhan. Akan tetapi, tanpa dia sedari ada satu indera yang paling berharga diam-diam hilang dari radar biologi. Indera paling berharga untuk manusia berjantina

Adam sepertinya. Itulah naluri fitrah yang menghuni jiwa dan nurani di dalam kolong perasaan.

“Bukankah aku sudah diciptakan dengan penuh kesempurnaan sejak kecil lagi? Apakah aku perlu merubah diri ini mengikut kebebasan akal fikiran dan nafsu yang sedang bergelodak liar?”

Soalan itu menerpa ke dalam benaknya seperti jarum tajam yang sedang mencucuk-cucuk setiap inci kulit zarahnya. Dia masih memerhati jasad yang berada di dalam cermin besar itu.

Jasad yang membesar dengan sempurna tanpa ada cacat celanya. Dia kagum dengan pancaindera yang berdiri tegak mengenakan sepasang pakaian yang menutup segala keaiban dirinya. Dia bangga kerana dirinya sudah pun mencapai usia muda dengan tubuh zahir yang bertenaga.

Dia lebih bangga lagi kerana kepintaran dan kebijaksanaan akal fikiran yang dimilikinya telah membawa kakinya melangkah ke podium pendidikan tertinggi sebanyak dua kali.

Pertama, empat tahun lalu dia berjaya menyelesaikan pendidikan kelas pertama pada peringkat ijazah sarjana muda di sebuah universiti terkenal di ibu kota.

Setahun selepas itu, sekali lagi dia melangkah ke atas podium konvokesyen untuk menakluki ijazah lanjutan dalam bidang kejuruteraan.

Kini, dia sedang berkira-kira untuk meneruskan perjuangannya pada peringkat pendidikan doktor falsafah pula. Akan tetapi, yang menjadi kemusykilannya, apakah semua itu benar-benar melengkapkan dirinya dengan kecemerlangan dan kegemilangan sebenar dalam hidupnya sebagai manusia yang berakal budi dan memiliki jati diri hakiki. Seribu persoalan berkocak dalam fikirannya.

Dia masih terus memandang cermin berbingkai cantik itu. Memerhati tubuh badannya yang dilengkap dengan pancaindera sempurna sebagai anugerah terindah untuk anak muda yang sedang meniti usia dewasa sepertinya.

Saat itu, terasa seperti cermin besar itu sedang mentertawakan diri dengan pandangan sinis dan luar biasa. Ada suara pelik yang mulai melantun-lantun masuk ke dalam gegendang telinganya. Gemaan itu mulanya berbisik perlahan namun lama-kelamaan semakin kuat mengukir halwa pendengarannya.

“Kau lelaki muda yang sihat tubuh badan dan fizikal yang sempurna. Tiada sedikit pun kecacatan dan kecelaan pada tubuhmu. Akan tetapi, ada sesuatu kesongsangan yang cuba kau tutupi pada tubuh zahir dan batinmu sendiri. Kau adalah manusia songsang yang sedang diratah oleh kedurjanaan.”

Suara itu beralun diikuti hilai ketawa memanjang. Kemudian, suara itu lenyap seketika. Cermin di hadapannya kekal berdiri kaku sebagai objek yang tergantung di dinding kamarnya. Dia menghela nafas. Terasa lemas dengan bisikan aneh yang muncul tiba-tiba. Fikirannya cuba menghimbau ingatan-ingatan silam yang menghantui perasaannya saat itu.

“Tubuhmu indah dan berseri wajah. Rautmu yang putih gebu serta penampilan badan yang lembut dan ramping adalah anugerah yang tidak dimiliki ramai orang. Namun, kau perlu akur bahawa batinmu sedang dalam kocakan kecelaruan yang dahsyat. Kalbumu sedang dikaburi dengan keinginan yang songsang dan melawan fitrah kejadian. Kau bukan lelaki normal sebenarnya. Kau telah terperangkap oleh dosa dan noda ciptaan sendiri.”

Suara itu kembali bergema lagi. Cermin di hadapannya bagai melantunkan suara-suara pedas dan keras dalam gelak sinis. Dia gagal mengawal emosi. Amarahnya bergelodak sehingga tanpa sedar kedua-dua tangannya menolak cermin besar itu hingga tersungkur jatuh ke lantai. Bunyi pecahan kaca berserakan kuat.

“Kamu manusia palsu. Hidup dikongkong nafsu. Zahirmu telah dicelarukan oleh kesongsangan fitrah. Kamu membelakangi Tuhan. Belajarlah untuk merubah penampilan diri. Sekarang sudah masuk tahun baharu. Tinggalkan sahaja dunia huru-hara dan kecelaruan gendermu itu.”

Dia terasa seperti hirisan luka pada kakinya yang tersentuh oleh serpihan kaca yang memenuhi lantai. Bau darah meruap ke hujung rongga saat dia sudah terjelempuk di atas sofa putih. Entah berapa lama dia tertidur dia sendiri tidak pasti. Tidur dalam kepasrahan diulit oleh mimpi-mimpi yang cukup menakutkan.

Pagi cerah itu, saat dia membuka mata, ada silau cahaya yang menembusi dari tabir jendela yang sedikit ternganga. Korneanya memerhati sekeliling kamar. Di atas meja ada sehampar kalender tahun baharu.

Hari itu sudah beberapa hari tahun baharu memasuki ambang Januari. Musim yang menandakan bertambahnya usianya yang memasuki awal tiga puluhan. Namun sesuatu yang membuatkan dia masih merasa terasing dalam dunia yang serba celaru dan keliru.

Keanehan itu sebenarnya bermula semenjak lama dahulu. Semenjak dia mula merasakan penampilan dirinya perlu berubah ke arah jalan yang songsang dan melanggar fitrah manusiawi.

Meski dunia maskulin melengkapkan usia perjalanan hidupnya akan tetapi dalam diam-diam dia tidak langsung tertarik dengan keindahan dan kejelitaan feminisme.

Bisik-bisik halus itu mulai bersarang dalam akal fikiran dan perasaannya untuk menolak fitrah semula jadi.Apakah dia perlu kembali ke pangkal jalan dengan membina hidup baharu di musim baharu memancarkan fajar keindahan ini?

Sejak memasuki kampus universiti, dia sudah merasakan perubahan itu. Perubahan aneh yang menguasai biologi dirinya. Lantas hari demi hari, dia memilih untuk menampilkan diri dengan penampilan jelita dan lenggok lembut gemalai.

Pelbagai jenis peralatan solek berjenama mahal dan mewah sentiasa memenuhi beg sandangnya setiapkali dia bermusafir ke luar daerah.

Malah, dia sudah mula terbiasa dengan busana-busana cantik yang sendat dan bercirikan kelembutan dan romantisme. Dari hujung rambut hingga ke telapak tumit kaki dihiasi dirinya dengan aneka kecantikan dan kejelitaan tanpa terlindung lagi.

Untuk menjaga personaliti dirinya yang anggun, seminggu sekali dia akan menjengah ke butik dan salun di ibu kota demi melakukan rawatan manicure dan pedicure.
Dia makin seronok melayari dunia kehidupan anehnya saat sering dihiburkan dengan ungkapan puji dan sanjung kerana berani berubah melawan arus kehidupan.

Ada teman-teman yang sudah mula mengagumi cara penampilannya yang dianggap moden dan futuristik.

“Tahniah Jes, usah takut dengan tohmahan orang. Buatlah apa yang kita suka demi perubahan yang diingini. Jangan biarkan diri terkongkong dengan budaya lama.”

Suara demi suara kian lantang menyanjungi keinginannya untuk berubah lebih jauh lagi. Bukan sahaja pada penampilan fizikal akan tetapi juga jiwa dan perasaan yang ada di lubuk hati. Lantas akhirnya dia dengan rasminya menukarkan seluruh fitrah dirinya yang asal kepada penampilan baharu.

Dia ingin menjadi manusia feminisme pada zahir dan batik. Dia sanggup melawan segala kritikan dan kejian demi membina personaliti baharu. Dia bukan lagi manusia Adam yang dahulu tetapi telah bertekad melayari dunia Hawa yang melimpah keindahan dan keasyikan.

Hari yang serba indah di kota yang menjanjikan segala kemudahan dan kemajuan fizikal itu, dia tidak sabar menanti tahun baharu yang beberapa detik sahaja lagi akan menjelma.

Sempena musim baharu, dia telah menggantikan sepetak cermin dinding yang telah pecah dengan cermin berbingkai indah yang baharu. Cermin itu akan menggantikan cermin lama yang telah dibuang ke dalam tong sampah.

Dia mahu cermin baharu itu kekal menampilkan penampilan dirinya yang baharu dengan sosok yang jelita dan lemah lembut.

Namun, entah mengapa selepas seminggu kalender tahun baharu muncul di batas hari, ada sesuatu dirasakan menjengkelkan matanya saat mengamati personaliti dirinya sendiri. Berulang kali dia merenungi sosok tubuhnya dengan pandangan aneh dan luar biasa.

“Apakah aku benar-benar melanggar fitrah dan kesongsangan diri ini? Mengapa aku memilih jalan khilaf sedangkan anugerah penciptaan itu perlu kusyukuri setulus hati?”

Soalan itu tiba-tiba muncul di pangkal lidahnya. Ada rasa jelek dan menjijikkan dengan luahan perasaannya sendiri.

Dia masih di hadapan cermin besar. Memerhati dengan seribu persoalan yang tidak terluah. Pandangannya terasa sebu dan bercelaru.

Dia teringat segala kutukan dan cemuhan yang pernah menjadi tusukan tajam ke lubuk hatinya.

Dari luar cermin rumah kondominumnya, dia memerhatikan suasana sekitar di kawasan perumahan mewah itu. Matanya tertancap pada sergam kubah besar yang terukir tulisan klasik yang dieja dari kanan ke kiri. Dua menara tinggi melengkapi sebuah bangunan masjid yang membuatkan hatinya tiba-tiba merasa pilu dan sendu.

“Baliklah pada kebenaran. Masih belum terlambat untuk membina kembali jati dirimu yang asal. Pintu taubat masih terbuka.”

Ada suara yang menyelinap masuk ke ubun-ubun. Tidak berapa lama kemudian, telinganya menangkap alunan suara suci yang berkumandang di udara tinggi. Gemersik dan syahdu menangkap laungan yang menggemai seluruh kota raya.

Dan hatinya seperti ditusuk sesuatu yang lembut dan menyentuh hati. Entah mengapa, dia tiba-tiba menangis tersedu-sedu.

“Aku perlu kembali kepada fitrah. Selama ini aku sudah jauh tersongsang arah dalam kecelaruan nafsu yang merajai fizikal diri. Aku perlu pulang pada yang asal.”

Suara itu bergetar dengan nada harmoni dan asyik. Lama dia merenung langit yang dikepuli awan gemawan yang berarak. Jelas bagaikan tompokan kapas putih yang sedang berarak di atas puncak bima sakti.

Fikiran dan perasaannya terus belayar ke mana-mana saat lidahnya mula mengungkap kalimah suci yang sudah lama tidak meniti di pangkal halkumnya.

“Subhanallah!”

Di hadapannya, cermin besar itu masih terpampang kaku di sudut dinding. Cermin tahun baharu yang dirasakan berkaca dan berseri dengan pantulan bayang-bayang dirinya yang ingin kembali kepada fitrah yang awal sebagaimana ketika usianya masih kecil lagi.

Awal tahun baharu ini dia bertekad untuk membina penampilan dirinya sebagaimana fitrah kejadian Tuhan yang Maha Sempurna. Dia sudah bertekad mahu berubah. Berubah dengan perubahan yang penuh dengan azam dan tekad yang mengepal di lubuk hatinya.

Tahun baharu yang indah dan mendamaikan hatinya. Dan cermin besar itu menjadi saksi kepada segala perubahan itu. Perubahan menjejaki identiti dan jati dirinya yang lama hilang.

Cermin besar itu bagai cahaya yang membias ke tubuh fizikalnya. Cahaya yang menyemarakkan nur paling indah di tahun baharu ini.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×