KANGAR: Berikutan mencatatkan kes sifar atau rendah jangkita Covid-19, penduduk Perlis memohon kerajaan memberi kelonggaran atau dibenarkan beralih ke fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) sekali gus membenarkan pergerakan bebas dan boleh melakukan aktiviti ekonomi tanpa sekatan.
Penduduk Perlis ternyata begitu berdisiplin dalam soal pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sehingga menyaksikan jumlah kes Covid-19 terus menunjukkan penurunan sehingga sifar kes dengan kes aktif pula hanya sekitar tujuh kes sehingga kini.
Peniaga burger, Wan Kharizal Wan Azmin, 45, berkata, kelonggaran khususnya dari segi tempoh perniagaan sehingga pukul 12 tengah malam perlu dipertimbangkan oleh kerajaan selepas melihat perkembangan kes Covid-19 di Perlis yang menurun.
Katanya, apa yang penting pergerakan rentas negeri dan kawasan sempadan perlu dikawal ketat memandangkan punca penularan wabak Covid-19 sebelum ini adalah disebabkan orang luar yang pulang ke negeri ini.
“Tidak adil ‘pukul rata’ dari segi sekatan pergerakan Perlis dengan negeri-negeri lain yang masih menunjukkan peningkatan kes. Rakyat Perlis diakui sangat mematuhi SOP dan tiba masanya kami diberikan sedikit kelonggaran,” katanya.
Seorang peniaga, Mohd. Romzi Mohd. Rejab,45, berkata, banyak perkara tertangguh khususnya bagi golongan peniaga seperti mereka mencari makan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Katanya, melihat kepada perkembangan kes Covid-19 yang menunjukkan sifar kes adalah wajar Perlis diberikan kelonggaran untuk beralih kepada fasa tiga PPN seterusnya diberi sedikit kebebasan kepada rakyat di negeri ini.
“Banyak benda yang tertangguh sejak PKP ini dan susah untuk kami buat kerja dalam mencari pendapatan. Kalau diberi sedikit kelonggaran dengan kedai makan diberi peluang berniaga sehingga pukul 12 tengah malam adalah lebih baik,” katanya.
Hafizuddin Ahmad, 37, yang melakukan kerja-kerja kampung berkata, tidak banyak kerja dapat dilakukan sepanjang PKP seterusnya menyebabkan dia hilang pendapatan.
Katanya, jika sesama rakyat Perlis risiko penularan kes Covid-19 sangat rendah melainkan ada orang luar pulang ke negeri ini seterusnya membawa wabak berkenaan.
“Sebelum ini, keadaan Covid-19 di Perlis boleh dikatakan pulih sepenuhnya dengan sejak sekian lama kami berada dalam status zon hijau dengan sifar kes sehinggalah orang luar merentas negeri sekali gus menjadi antara punca kenaikan kes. Kawal rentas negeri, insya-Allah Perlis akan terus kekal zon hijau,” katanya.
Seorang juruteknik, Tarmizi Arus, 35, pula berharap kerajaan dapat memberi kelonggaran kepada Perlis sekali gus memberi motivasi kepada negeri-negeri lain agar terus mematuhi SOP jika mahu bebas lebih awal.










