Kerjasama pastikan Perlis beralih ke fasa tiga PPN - Utusan Malaysia

Kerjasama pastikan Perlis beralih ke fasa tiga PPN

raja muda perlis
TUANKU SYED FAIZUDDIN PUTRA JAMALULLAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengharapkan kerjasama padu seluruh rakyat negeri ini bagi memastikan Perlis beralih kepada fasa kedua atau ketiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam tempoh terdekat.

Titah baginda, ramai dalam kalangan rakyat di negeri ini turut terkesan dengan pandemik Covid-19 dengan ada kehilangan orang tersayang, hilang punca pendapatan selain terkesan dari segi emosi.

Baginda bertitah, rakyat perlu bekerja lebih keras khususnya dalam aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) supaya negeri ini boleh beralih ke fasa kedua dan seterusnya fasa ketiga sekali gus membolehkan sektor ekonomi kembali dibuka.

“Oleh itu, kita semua hendaklah terus berusaha supaya dapat mengekalkan kes harian pada paras yang rendah dan sistem kesihatan yang mencukupi, dan pada masa yang sama kita hendaklah berusaha bagi mendapatkan sekurang-kurangnya 40 peratus rakyat Perlis menerima dua dos suntikan vaksin dalam tempoh terdekat,” titah baginda di sini hari ini.

Dalam masa sama, Tuanku Syed Faizuddin turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat yang sentiasa bersama-sama dalam membantu mengekang penularan Covid-19 di negeri ini selain menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Perlis.

Baginda turut meminta kepada mereka yang masih belum mendaftar mendapatkan suntikan vaksin agar segera berbuat demikian.

“Kejayaan kita mencapai imuniti kelompok ini adalah bergantung kepada rakyat Perlis yang menerima suntikan vaksin. Dengan peningkatan bekalan vaksin, lebih ramai rakyat Perlis akan mendapat janji temu suntikan vaksin.

“Semua pihak juga diharap tidak berputus asa dalam menunggu giliran, semaklah tarikh janji temu suntikan vaksin masing-masing secara berkala dan hadirlah mengikut janji temu yang diberikan kelak,” titah baginda.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN