KOTA BHARU: Kerajaan sedia mempertimbangkan cadangan membenarkan orang ramai bernikah secara dalam talian atau online secara lebih meluas tanpa syarat ketat sebagaimana sekarang.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, setakat ini pernikahan dalam talian hanya dibenarkan kepada pasangan yang berdepan situasi tertentu.
Antaranya kata beliau, pasangan yang sudah mendaftar untuk bernikah sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.
“Mereka yang mendaftar dalam tempoh PKP pula, kita akan lihat pada kes dan sekiranya tindakan itu perlu, kita akan membawa perkara berkenaan kepada perbincangan untuk membenarkannya.
“Apa yang penting, kita tidak menyalahgunakan nikah online ini. Ia mesti dibuat berdasarkan keperluan yang sangat mendesak. Cuma sekarang ini, masih belum dibenarkan secara meluas,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, beliau menyampaikan bakul makanan kepada orang ramai di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Panchor yang turut dihadiri Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah selaku wakil rakyat kawasan itu.
Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk berkata, kebenaran nikah secara online kini juga tertakluk kepada negeri-negeri dan sebarang maklumat lanjut, orang ramai perlu merujuk pihak berkuasa agama negeri masing-masing.
Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu skop Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (LTH) yang diwujudkan tempoh 2014 hingga 2020 bagi mengelak pelan pemulihan Tabung Haji (TH) yang sedang dilakukan terjejas.
“Pada masa sama kita juga mahu meningkatkan keyakinan pendeposit kepada TH dan setakat ini tidak timbul sebarang isu yang mencurigakan masyarakat khususnya 11 juta pendeposit. RCI akan dilaksanakan secara telus dan jujur,” katanya.










