Kerajaan Negeri Sembilan desak SOP lebih ketat di kilang - Utusan Malaysia

Kerajaan Negeri Sembilan desak SOP lebih ketat di kilang

AMINUDDIN HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan mendesak supaya prosedur operasi standard (SOP) dapat dilaksanakan dengan lebih ketat di negeri ini dalam hal membabitkan pengoperasian kilang kerana ia adalah di bawah bidang kuasa Majlis Keselamatan Negara (MKN) menerusi Ordinan Darurat.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, dalam keadaan biasa, pihak berkuasa tempatan (PBT)  berkuasa menutup sesuatu premis apabila melanggar syarat dan peraturan, namun menerusi Akta 342 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit, hanya kerajaan Persekutuan berhak memberi kuasa kepada mana-mana sektor ekonomi yang boleh dibuka dan ditutup.

“Beberapa fakta penting perlu dinyatakan terlebih dahulu bahawa kilang-kilang yang diberi kebenaran operasi oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri adalah kilang-kilang yang sah di sisi undang-undang serta bukan kilang haram dan sebagainya. Kilang-kilang ini juga mempunyai lesen yang masih sah tempoh.

“Kerajaan negeri sudah meminta dan akan terus mendesak MKN agar mana-mana kilang yang dibenarkan beroperasi, sekiranya terdapat jangkitan kes Covid-19 walaupun hanya satu atau dua kes premis berkenaan hendaklah ditutup selama 14 hari. Tindakan lanjut kilang berkenaan adalah dengan melakukan sanitasi penuh, saringan PCR kepada semua pekerja dan seterusnya memastikan pematuhan SOP diperketatkan,” katanya dalam kenyataan.

Jelas Aminuddin, sekiranya perkara itu di bawah bidang kuasa PBT dan boleh digunakan bagi menghentikan operasi kilang-kilang, sudah tentu kerajaan negeri mengambil tindakan tegas.

“Jika bidang kuasa PBT boleh digunakan bagi menghenti operasi sementara kilang-kilang, sudah tentu kerajaan negeri akan mengambil tindakan tegas bagi menutup sementara kilang-kilang berkenaan.

“Bagi kerajaan negeri nyawa rakyat lebih penting untuk dijaga dan dipelihara. Dalam masa yang sama, mekanisme tertentu akan dikenal pasti bagi membantu industri dapat beroperasi semula selepas keadaan terkawal,” katanya lagi.

Dalam pada itu, jelas beliau, arahan yang berubah-ubah termasuk dalam hal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKPD) di daerah Seremban antara punca utama kes positif Covid-19 meningkat di negeri ini.

“Pelaksanaan PKPD di daerah Seremban yang telah diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri bermula pada 9 Julai sehingga 22 Julai adalah bertujuan meghadkan beberapa aktiviti bagi membendung penularan Covid-19.

“Namun pada 12 Julai yang lalu terdapat perubahan (tambahan) terhadap senarai perkhidmatan perlu yang membolehkan sektor pembuatan dan pengilangan dibenarkan beroperasi. Ini antara punca utama kes positif meningkat dengan mendadak lantaran arahan yang berubah-ubah,” katanya lagi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN