ISKANDAR PUTERI: Pembelian kit ujian Rapid Antigen (RTK-Ag) dan RTK yang menggunakan sampel air liur dilihat mampu meningkatkan kadar saringan dalam kalangan rakyat di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, pembelian kit ujian Covid-19 itu juga dapat membantu Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) melakukan lebih banyak ujian dari masa ke semasa.
“Pembelian kit ujian ini merupakan inisiatif kerajaan negeri di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0 yang diumumkan bulan lalu.
“Harapan saya, masyarakat bukan hanya mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) dan melakukan penjarakan sosial malah dapat melakukan ujian saringan secara kendiri pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan sempena penyampaian kit ujian RTK Antigen kepada JKNJ di Pejabat Menteri Besar, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, R. Vidyananthan dan Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Datuk Dr. Aman Rabu.
Hasni berkata, kerajaan negeri telah menerima pesanan bekalan dua jenis kit ujian Covid-19 iaitu ujian RTK-Ag sebanyak 130,000 unit, manakala 50,000 lagi merupakan kit ujian RTK pada hari ini.
“Pesanan ini merupakan sebahagian 200,000 kit ujian yang telah diumumkan kerajaan Johor. ‘Ini adalah bekalan yang menjadi sebahagian daripada inisiatif kerajaan negeri untuk meningkatkan lagi pengurusan atau memperkukuhkan pengurusan pandemik Covid-19 di negeri ini,” katanya. – UTUSAN










