SHAH ALAM: Kerajaan dilihat terus berdepan dengan isu keabsahan jika Ordinan Darurat tidak dibentang dan dibahaskan dalam sidang Parlimen yang berbaki kurang dua hari berikutan pembatalannya dipertikaikan oleh Istana Negara.
Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN), Isham Jalil berkata, Speaker Dewan Rakyat perlu membenarkan Ordinan Darurat dibentang, dibahas dan diundi.
Beliau berkata, sekiranya perkara itu tidak dilakukan, negara dan kerajaan akan berhadapan dengan implikasi termasuk menimbulkan krisis Perlembagaan berikutan pembatalan ordinan itu tidak mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Perkara ini perkara Perlembagaan yang kritikal, jadi kena selesaikan dalam tempoh sidang Parlimen sekarang. Jadi apa yang Speaker kena buat adalah, hari ini perlu benarkan pengungkaian Ordinan Darurat itu dibentang, dibahas dan diundi seperti titah Seri Paduka.
“Yang itu Speaker kena benarkan, kalau tidak ada dua implikasi, pertama akan jadi krisis perlembagaan. Jadi kerajaan punya kedudukan bercanggah dengan ramai ahli Parlimen dan Istana Negara.
“Jadi sekarang ini, ahli Parlimen saya lihat dalam dewan, majoriti pun hendak perkara ini dibentang dan dibahas. Kedua, kalau Speaker tak benarkan juga, maknanya beliau derhaka pada titah Seri Paduka. Mereka sudah setuju untuk bentang dan bahas, tetapi tak buat, itu adalah satu penderhakaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Isham menambah, isu yang timbul berkenaan ordinan berkenaan bukanlah soal politik, sebaliknya pertikaian itu nanti akan menimbulkan krisis perlembagaan kerana keabsahan kerajaan akan terus dipersoalkan.
Terdahulu, Seri Paduka menerusi kenyataan yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin menzahirkan rasa dukcita terhadap pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa 21 Julai lalu yang dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen.
Seri Paduka bertitah demikian selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada 26 Julai lalu memaklumkan pembatalan Ordinan Darurat dalam Dewan Rakyat tanpa mendapat perkenan baginda.
Malah, pagi tadi keadaan dalam Dewan Rakyat kecoh apabila Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membangkitkan kenyataan Seri Paduka dan mendesak Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan.
Dalam pada itu, Isham menambah bagaimanapun kerajaan dilihat akan berdolak dalik untuk membenarkan Ordinan Darurat dibentang, dibahas dan seterusnya diundi memandangkan tempoh Proklamasi Darurat akan tamat pada 1 Ogos ini.
“Saya rasa Speaker akan berdolak dalik lagi, tetapi apa yang saya hendak cakap, Speaker sepatutnya bentang, kita ada dua hari lagi. Hari ini dengan Isnin sahaja untuk ada di Parlimen, kemudian tunggu September sebulan, takkan kita hendak beri kerajaan sekarang ini sebulan untuk berkuasa menggunakanan sumber kerajaan, duit rakyat dan sebagainya.
“Jadi, kalau ini tak selesai, takkan kita hendak beri kepada pihak yang tidak sah memegang kuasa untuk membuat dasar kerajaan. Dasar-dasar ini pun sudah kita tahu gagal, kemudian kita beri kuasa untuk dia belanja berbilion-berbilion ringgit duit awam,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE