Antara tuduhan yang sering dilemparkan kepada para ulama sufi adalah mereka merupakan golongan yang mensyirikkan Allah kerana bertawassul dengan Nabi Muhammad SAW.
Para penuduh menjaja pemikiran mereka dengan menyatakan muslim yang benar aqidahnya akan terus memohon kepada Allah tanpa menjadikan sesiapapun daripada kalangan makhluk sebagai perantara.
Oleh kerana isu ini sering diperdebatkan, maka saya kongsikan pandangan seorang ulama fikah terkemuka dalam mazhab Imam Syafie iaitu Imam Taqiyyuddin ‘Ali bin ‘Abdul Kafi al-Subki terhadap isu tawassul menerusi kitabnya yang berjudul: Syifa al-Saqom Fi Ziyaroh Khoyr al-Anam Sollallohu ‘Alayhi Wa Sallam.
Beliau dalam bab kelapan menjelaskan bertawassul, beristighasah dan memohon syafaat Nabi Muhammad SAW adalah dibenarkan dan merupakan satu perbuatan yang bagus serta elok.
Katanya, sejak zaman-berzaman, tiada seorang pun yang mengingkari tindakan bertawassul dan beristighasah dengan Rasulullah SAW melainkan Syeikh Ibnu Taymiyah yang membawa pandangan bertentangan dengan para ulama sebelumnya.
Apabila seseorang bertawassul dengan Nabi Muhammad SAW di dalam doanya, dia sebenarnya memohon kepada Allah dengan menjadikan Nabi Muhammad sebagai wasilah (cara) agar doanya dimakbulkan.
Ini bermakna kita bukannya meminta kepada selain daripada Allah sebaliknya hanya meminta kepada Allah dengan cara menyebut kemuliaan Rasulullah SAW di dalam doa agar dimakbulkan oleh Allah.
Kadangkala dengan menyebut seseorang yang dicintai oleh Allah atau sesuatu yang agung di sisi-Nya, permintaan tersebut akan dikabulkan.
Buktinya, adalah dalam satu doa Rasulullah SAW yang sahih:
“Daku memohon kepada-Mu dengan [keberkatan] semua nama bagi-Mu”. “Daku memohon kepada-Mu dengan nama-nama-Mu yang baik”. “Daku memohon kepada-Mu dengan [keberkatan] bahawa sesungguhnya Dikau adalah Allah”. “Daku berlindung dengan [berkat] keredaan-Mu daripada kemurkaan-Mu, dengan [berkat] kemaafan-Mu daripada hukuman-Mu dan dengan [berkat]-Mu daripada-Mu.”
TOLAK PANDANGAN SYEIKH IBNU TAYMIYAH
Imam Taqiyyuddin al-Subki berkata, bertawassul dengan Rasulullah SAW dibolehkan oleh syarak.
Tidak kira sama ada sebelum atau selepas baginda diciptakan, ketika Baginda masih hidup atau setelah ke alam barzakh, bahkan semasa hari kebangkitan dan di dalam syurga.
Ini bermakna bertawassul dengan Nabi Muhammad SAW adalah dibenarkan pada bila-bila masa sahaja.
Seterusnya Imam Taqiyyuddin al-Subki mula membahagikan perincian tawassul kepada tiga keadaan:
Keadaan pertama: Bertawassul dengan Rasulullah SAW dengan menyebut nama Baginda saat seseorang memohon sesuatu hajat kepada Allah SWT.
Imam Taqiyyuddin al-Subki menjelaskan keadaan pertama ini dibenarkan oleh syarak pada tiga fasa zaman iaitu sebelum Rasulullah SAW diciptakan, semasa hidup dan setelah kewafatan.
Keadaan kedua: Bertawassul dengan Rasulullah SAW dengan cara meminta Baginda memohon kepada Allah.
Keadaan kedua ini adalah jelas dibolehkan pada zaman Rasulullah SAW kerana terlalu banyak hadis yang menunjukkan para sahabat memohon bantuan Rasulullah SAW agar Baginda mendoakan mereka.
Beliau menyatakan memohon bantuan Baginda pada hari Kiamat nanti juga akan berlaku dan ini dibuktikan dengan ijmak dan hadis yang mutawatir. Bahkan, ada juga kisah-kisah generasi dahulu yang menunjukkan mereka memohon bantuan Rasulullah SAW setelah kewafatan Baginda.
Keadaan ketiga: Bertawassul dengan dengan cara meminta sesuatu kepada baginda dalam keadaan permintaan itu boleh dilaksanakan oleh baginda seperti seorang sahabat yang berkata kepada baginda: “Daku meminta kepadamu agar daku dapat bersama-sama denganmu di dalam syurga nanti” lalu Rasulullah SAW bersabda kepada sahabat tersebut: “Tolong daku untuk menunaikan permintaanmu itu dengan cara membanyakkan sujud.”
Menurut Imam Taqiyyuddin al-Subki, bertawassul pada keadaan ketiga ini sebenarnya akan kembali kepada keadaan kedua kerana orang yang meminta hajat tertentu secara langsung kepada Rasulullah SAW sebenarnya ingin meminta Baginda agar memohon kepada Allah supaya hajat orang tersebut dimakbulkan.
NABI ADAM AS BERTAWASSUL DENGAN RASULULLAH
Bagi membuktikan tawassul dengan Rasulullah SAW telah berlaku sebelum kelahiran baginda lagi, Imam Taqiyyuddin al-Subki mendatangkan hadis diriwayatkan oleh Imam al-Hakim al-Naysaburi dalam kitab al-Mustadrok ‘Ala al-Sohihayn:
Daripada Saidina ‘Umar bin al-Khattab, beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: “Apabila [Nabi] Adam ‘Alayhissalam telah melakukan kesilapan (tanpa sengaja), baginda telah bersabda: Wahai Tuhanku. Daku meminta kepada-Mu dengan hak [kemuliaan] Muhammad agar Dikau mengampunkanku.
Maka Allah ‘Azza Wajalla telah berfirman: Wahai Adam. Bagaimana anda mengenali Muhammad sedangkan Daku belum lagi menciptakan baginda? Baginda (Nabi Adam) telah bersabda: Wahai tuhanku. [Daku mengenali baginda] kerana ketika Dikau menciptakanku dengan tangan-Mu (iaitu kekuasaan-Mu) dan [ketika] Dikau meniupkan (iaitu memasukkan) ke dalam diriku daripada ruh [yang diciptakan oleh]-Mu, daku pun telah mengangkat kepalaku.
Lalu daku melihat di atas kaki-kaki arasy tertulis: Tiada tuhan melainkan Allah. Muhammad adalah rasul Allah.
Maka tahulah daku bahawa Dikau tidak akan menyandarkan kepada nama-Mu kecuali makhluk yang paling Dikau cintai.
Maka Allah ‘Azza Wajalla telah berfirman: Dikau benar wahai Adam. Sesungguhnya Baginda adalah mahkluk yang paling Daku cintai.
Ketika dikau meminta kepada-Ku dengan hak [kemuliaan] Baginda, maka Daku telah mengampunkanmu. Kalaulah tidak kerana Muhammad, Daku tidak akan menciptakanmu”.
Hadis ini menurut Imam al-Hakim al-Naysaburi adalah hadis yang sahih sanadnya.
Maka pensahihan Imam al-Hakim terhadap hadis ini membatalkan apa yang disebut oleh Syeikh Ibnu Taymiyah yang mendakwa kisah Nabi Adam bertawassul dengan Rasulullah SAW tidak memiliki sandaran dan tidak ada seorang pun yang meriwayatkan kisah ini dengan berpandukan hadis yang sanadnya boleh dijadikan sebagai pegangan. (bersambung)
-PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.










