Keputusan MT: Ahli Parlimen UMNO akur, lebih dua pertiga dikatakan setuju - Utusan Malaysia

Keputusan MT: Ahli Parlimen UMNO akur, lebih dua pertiga dikatakan setuju

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Ahli Parlimen UMNO dikatakan akur dengan keputusan dicapai oleh Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti itu malam tadi yang memuktamadkan pengunduran diri daripada menyokong kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil yang memberitahu, lebih dua pertiga anggota MKT bersetuju keputusan itu dibuat berdasarkan tujuh kegagalan seperti dinyatakan dalam kenyataan Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Malah, beliau menyifatkan keputusan itu adalah tepat selepas pelbagai masalah dihadapi rakyat berikutan kegagalan dasar-dasar kerajaan dalam mengurus pandemik Covid-19 dan menghadapi kemelesetan ekonomi akibat pandemik.

“Saya dimaklumkan bahawa lebih dua pertiga daripada ahli MT UMNO bersetuju  menarik diri daripada Kerajaaan Perkatan Nasional (PN) Muhyiddin.

“UMNO akan terus memperjuangkan rakyat dan perubahan sokongan ini adalah supaya dasar-dasar kerajaan boleh diubah kepada yang lebih baik untuk rakyat.

“Saya juga dimaklumkan bahawa ahli-ahli Parlimen UMNO akan kekal bersama UMNO dan akur dengan keputusan MKT ini,” katanya dalam satu kenyataan menerusi hantaran Facebooknya.

Terdahulu, Utusan Online melaporkan, UMNO menarik balik sokongan kepada Muhyiddin serta merta selepas Perdana Menteri itu didakwa gagal memenuhi segala garis panduan yang dikemukakan oleh MKT pada 11 Mac 2020, sebagai syarat.

Malah, Ahmad Zahid dalam kenyataan turut mendesak Muhyiddin berundur secara terhormat bagi membolehkan seorang perdana menteri baru dilantik bagi tempoh terhad.

Sehubungan itu, dalam kenyataan sama juga, bekas Timbalan Perdana Menteri itu sekali lagi menegaskan tidak sesekali menyokong sebarang usaha mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ataupun kerajaan yang ditunjangi DAP-PH. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya