KUANTAN: Kenyataan kerajaan yang berpandangan semua tindakan diambil berhubung pembatalan ordinan darurat seperti disebut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan adalah teratur dan selaras peruntukan undang-undang serta Perlembagaan Persekutuan adalah tidak tepat dan mengelirukan.
Ini kerana, dalam kenyataan tersebut kerajaan cuma cuba berselindung pada Perkara 40 (1) dan 40(1A) Perlembagaan Persekutuan untuk mengatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong ‘hendaklah’ menerima dan bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri.
Timbul persoalan perlembagaan, adakah Yang di-Pertuan Agong terikat di bawah Perkara 40 untuk bertindak atas nasihat Jemaah Menteri dalam perkara 150 Perlembagaan Persekutuan?
Sedangkan Perkara 40(2) dan 40 (3) (a) & (b) jelas menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicara Seri Paduka dalam hal (a) hingga (c) dan dalam apa-apa hal lain yang disebut dalam Perlembagaan Persekutuan.
Bercakap kepada Utusan Online, peguam kanan, Mohd. Zainuddin Omar berkata, peruntukan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan sebelum dipinda seperti sekarang pernah memperuntukkan hal berpuas hati kepada Perdana Menteri dan Perdana Menteri menasihati Yang di-Pertuan Agong.
Jelasnya, Perkara 150, khususnya Fasal (2B) telah dipinda dan rujukan kepada Perdana Menteri berpuas hati dan Perdana Menteri menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menggubal ordinan telah dibuang dengan menggantikan hanya dengan Seri Paduka berpuas hati dan baginda menggubal ordinan.
“Kalau Perkara 150 tertakluk kepada nasihat Perdana Menteri atau menteri, frasa asal Perkara 150 tidak dipinda dan dikekalkan.
“Jelas tujuan pindaan adalah kerana untuk tujuan Perkara 150, Yang di-Pertuan Agong tidak ‘dikehendaki’ menerima dan mengikut nasihat menteri.
“Kalau beli buku Perlembagaan sekarang, yang ada tertulis adalah peruntukan terkini. Peruntukan lama yang sudah dipinda tiada, jadi tidak nampak sejarah pindaan.
“Ramai yang tidak tahu dan tidak perasan tentang pindaan-pindaan pada Perkara 150 ini sebab hanya membaca peruntukan sedia ada pada ketika ini. Setakat ini belum ada sesiapa yang perasan dan memberi pandangan tentang peruntukan lama Perkara 150(2B) sebelum dipinda seperti sekarang,” katanya di sini semalam.
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataannya semalam memaklumkan Perdana Menteri menekankan bahawa dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab, adalah penting untuk beliau bertindak mengikut lunas undang-undang dan perlembagaan.
Kenyataan pejabat itu menyebut, Yang di-Pertuan Agong sedia maklum bahawa Seri Paduka Baginda perlu menerima dan bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri seperti yang terkandung dalam Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan.
Mohd. Zainuddin berkata, Perkara 40 jelas memperuntukkan pengecualian ‘kecuali sebagai mana yang diperuntukkan selainnya oleh perlembagaan ini’, yang mana Yang di-Pertuan Agong boleh tidak bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri, tetapi sebaliknya bertindak berdasarkan kuasa yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Tidak ada satu peruntukan pun dalam Perkara 150 yang menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong perlu bertindak atas nasihat Jemaah Menteri, sebaliknya perkataan ‘Yang di-Pertuan Agong berpuas hati’ digunakan berulang kali.
“Perkara 150 (8) (a) lebih jelas memperuntukkan hal berpuas hati Yang di-Pertuan Agong adalah muktamad, konklusif dan tidak boleh dicabar.
“Perkara 150(8)(a) yang menjelaskan ‘hal berpuas hati Yang di-Pertuan Agong’ jelas menunjukkan fungsi khusus Seri Paduka Baginda dan tidak terikat dengan Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – UTUSAN ONLINE