PETALING JAYA: Fungsi pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di negara ini dilihat lebih banyak menimbulkan persoalan, selepas pelbagai isu timbul sejak beberapa tahun lalu terutama berkaitan masalah pendatang tanpa izin (PATI).
Walaupun UNHCR berperanan dalam aspek kemanusiaan untuk melindungi individu yang melarikan diri daripada konflik dan penindasan, kehadiran pelarian di negara ini menimbulkan masalah dalam aspek kesihatan awam, kebersihan dan penguatkuasaan.
Apatah lagi, pengeluaran kad pelarian UNHCR dilaksanakan tanpa perlu merujuk kepada pihak berkuasa iaitu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ini menimbulkan persoalan dalam pelbagai aspek termasuk kedaulatan, yang menjadikan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md. Saad berkata, urusan pelarian dijalankan kerajaan sendiri sebagaimana yang termaktub dalam arahan nombor 23 MKN.
Malah katanya, UNHCR sudah tidak lagi memainkan peranan yang selari dengan kepentingan negara dan mereka gagal menempatkan pelarian di negara ketiga secara berkesan
“Langkah menutup pejabat UNHCR di Malaysia adalah sangat wajar dan perlu disegerakan demi keselamatan serta kedaulatan negara,” katanya semalam.
Kerajaan akan mendaftarkan semua pelarian di negara ini, termasuk etnik Rohingya, melalui Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) selewat-lewatnya Januari depan bagi mendapatkan data sebenar selain mengelak bergantung sepenuhnya kepada UNHCR.
Dalam pada itu, Pakar undang-undang antarabangsa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr. Mohd. Yazid Zul Kepli berkata, peranan UNHCR di negara ini berdepan percanggahan dalam isu memberi kesan langsung kepada rakyat Malaysia.
“Punca utama ialah konflik luar. UNHCR mahu meringankan beban pendatang tetapi selalu berlaku dengan kepentingan rakyat,” katanya
Menurutnya, percanggahan paling ketara semestinya berkenaan bawah undang-undang Malaysia dan mandat badan antarabangsa.
Sementara itu, bekas Menteri Luar, Bekas Menteri Luar, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, Malaysia tidak berdepan masalah untuk menutup operasi UNHCR di negara ini kerana tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951.
“Namun, langkah sedemikian dibimbangi boleh menjejaskan reputasi serta imej negara di peringkat antarabangsa, khususnya dalam aspek hak asasi dan komitmen kemanusiaan.
“Tindakan menutup pejabat UNHCR secara drastik berpotensi menimbulkan persepsi negatif, dalam kalangan organisasi antarabangsa,” jelasnya. – UTUSAN










