PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan mengesan segelintir penerima vaksin Covid-19 yang sewenang-wenangnya membuat penjadualan semula vaksinasi mereka berikutan vaksin yang diberikan tidak dari jenis yang dimahukan mereka.
Malah, dipercayai ada penerima yang sanggup menjadual semula lebih empat kali tawaran vaksinasi semata-mata mahu menunggu vaksin yang diidamkan.
Sehubungan itu, pakar kesihatan awam mempersoalkan kewajaran tindakan mereka itu kerana ia akan mengganggu keseluruhan program vaksinasi kebangsaan yang sedang berjalan.
Mereka berkata, semua vaksin yang diluluskan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) termasuk Sinovac dan AstraZaneca mempunyai fungsi dan matlamat sama iaitu memastikan semua orang dapat keluar dari lingkaran jangkitan wabak berkenaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar perubatan keluarga Kementerian Kesihatan, Dr. Suhazeli Abdullah berkata, pemilihan vaksin kepada orang ramai juga bergantung kepada bekalan vaksin yang tersedia di pusat-pusat pemberian vaksin negara ini (PPV).
“Ini berdasarkan kepada vaksin apa yang available di PPV. Jika pusat itu memberikan vaksin Sinovac atau lain-lain vaksin, maka itulah yang terbaik. Jika seseorang itu berpenyakit atau komorbid, maka ia juga perlu dinilai oleh doktor sama ada sesuai atau tidak.
“Jika tiada alasan kukuh untuk tidak mengambilnya, saya boleh katakan mereka bersifat mengada-ngada dan meminta lebih. Di pusat vaksinasi ada tempat untuk penerima mendapatkan nasihat dan rundingan sebelum mengambil vaksin ini jadi doktor dengan penerima boleh berbincang,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Senada dengan beliau, Ketua Kluster Kesihatan dan Perubatan, Akademi Profesor Malaysia (APM), Prof. Dr. Adlina Suleiman berkata, jika individu didapati terus menangguhkan atau membatalkan janji temu beberapa kali, mereka berisiko tidak mendapat imuniti penuh dalam masa yang dijadualkan selepas mendapat dos pertama vaksin.
Beliau turut membantah tindakan individu berbuat demikian walaupun beralasan vaksin yang diinginkan tetapi tidak diperoleh kerana tidak mendapat pengiktirafan sesetengah negara yang hanya mengiktiraf vaksin dari negara pengeluar sendiri.
“Pemberian vaksin dibuat berdasarkan masa yang sesuai untuk diri seseorang untuk meningkatkan antibodi sepenuhnya, jika terlalu lama untuk divaksin, maka tahap imuniti akan jatuh dan kemungkinan seseorang terpaksa bermula dari awal suntikan pertama vaksin.
“Ini (pengiktirafan vaksin negara luar) hanya lebih kepada perniagaan. Tiada masalah pun dengan vaksin seperti Sinovac malah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sudah mengiktiraf vaksin ini. Mana-mana negara yang menolak akan ditekan untuk menerimanya,” katanya.
Untuk rekod, Pfizer mempunyai keberkesanan 95 peratus untuk memberi imuniti seseorang manakala Sinovac antara 50.4 hingga 91.25 peratus dan AstraZeneca keluaran AstraZeneca-Oxford mempunyai 76 peratus keberkesanan melawan jangkitan jika lengkap kedua-dua dos.
Sementara itu, pakar perubatan kesihatan awam Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Victor Hoe Chee Wai Abdullah berkata, tindakan membatalkan janji temu vaksin Covid-19 disebabkan mahu mengambil vaksin pilihan sendiri adalah tidak wajar.
Katanya, sekalipun ada yang bertekad mahu mendapatkan vaksin Pfizer namun diberikan vaksin lain, ia tetap memberikan perlindungan kepada seseorang daripada terkena jangkitan wabak yang kini mencatatkan rekod 6,000 lebih kematian di seluruh negara.
“Semua vaksin Covid-19 tetap berkenaan untuk melindungi diri semua orang. Ketika ini, negara tidak mempunyai bekalan vaksin yang cukup. Lainlah jika bekalan kita berlebihan, jadi semua orang bebas memilih vaksin yang mereka mahu,” katanya. – UTUSAN










