Kaunter agensi Kementerian Pengangkutan di kawasan PKPD ditutup - Utusan Malaysia

Kaunter agensi Kementerian Pengangkutan di kawasan PKPD ditutup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selangor dan Kuala Lumpur esok, semua perkhidmatan kaunter dikendalikan agensi di bawah Kementerian Pengangkutan akan ditutup kecuali kawasan Kuala Lumpur yang berada di luar zon PKPD.

Menurut kenyataan akhbar kementerian itu, agensi tersebut melibatkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dan Jabatan Laut Malaysia (JLM).

“Dalam kenyataan bertarikh 30 Jun lepas, kementerian ini telah mengumumkan pembukaan semula perkhidmatan kaunter semasa Fasa Pertama PKP di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) untuk transaksi atau perkhidmatan yang tidak dapat dilaksanakan secara dalam talian.

“Justeru, orang ramai digalakkan merujuk laman rasmi media sosial atau laman sesawang agensi-agensi yang berkaitan untuk keterangan lebih lanjut,” katanya di sini hari ini.

Berhubung surat kelulusan perjalanan melalui Sistem Maklumat Industri Logistik (SMILE), ia masih terguna pakai sepanjang tempoh tersebut dan pemohon tidak perlu memuat turun surat baharu jika memiliki surat pengesahan sebelumnya.

Kenyataan itu turut menyebut, hanya seorang daripada setiap isi rumah dibenarkan menggunakan kenderaan mereka sendiri tanpa mengira kapasiti tempat duduk untuk mendapatkan barangan keperluan dalam lingkungan 10 kilometer dari tempat tinggal mereka.

“Kebenaran polis diperlukan (mengikut kes atau situasi) untuk penambahan penumpang bagi tujuan yang dibenarkan. Pergerakan merentas daerah dan negeri bagi tujuan vaksinasi Covid-19 di pusat pemberian vaksin (PPV) dibenarkan dengan menunjukkan butiran janji temu di aplikasi MySejahtera sebagai bukti.

“Maksimum dua orang dalam satu kenderaan dibenarkan bagi tujuan mendapatkan penjagaan kesihatan, perubatan atau bagi tujuan vaksinasi,” jelasnya.

Selain itu, katanya, hanya dua orang termasuk pemandu dibenarkan menaiki teksi atau kenderaan e-hailing.

Mengenai perkhidmatan kereta api, LRT, MRT, ERL, monorel, bas, teksi, feri dan e-hailing, Kementerian Pengangkutan berkata, ia dibenarkan beroperasi dengan kapasiti penumpang 50 peratus manakala lapangan terbang dan pelabuhan boleh terus beroperasi seperti biasa.

“Pengangkutan perdagangan melalui darat, udara dan laut adalah perkhidmatan perlu yang dibenarkan beroperasi semasa PKPD termasuk perkhidmatan penghantaran makanan, minuman dan bungkusan atau apa-apa aktiviti yang menjadi rantaian kepada mana-mana perkhidmatan perlu.

“Perkhidmatan pelabuhan dan perusahaan yang berkaitan termasuk limbungan kapal, pengangkutan laiter, pengendalian kargo dan pemukalan komoditi, pemaliman serta pemunggahan di pelabuhan juga dibenarkan,” katanya.

Tambahnya, aktiviti loading dan unloading di luar kawasan pelabuhan semasa PKPD hanya dibenarkan untuk perkhidmatan perlu yang diluluskan.

“Dalam masa sama, jumlah penumpang yang dibenarkan menggunakan kenderaan komersial dan logistik adalah tertakluk pada pendaftaran kenderaan masing-masing,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN