Kapal tangki cuba pindah minyak ditahan - Utusan Malaysia

Kapal tangki cuba pindah minyak ditahan

KAPAL tangki berdaftar di Belize (kiri) ditahan kerana disyaki cuba melakukan pemindahan minyak STS secara haram di perairan Johor Timur di Kota Tinggi, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Sebuah kapal tangki berdaftar di Belize, Amerika Tengah ditahan kerana disyaki cuba melakukan pemindahan minyak ship to ship (STS) dengan sebuah kapal yang berada di bawah tahanan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan sedang dalam proses menunggu perbicaraan.

Pengarah Maritim Malaysia Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal tangki berkenaan ditahan pada kedudukan 6.7 batu nautika timur laut Tanjung Balau di perairan Johor Timur, kira-kira pukul 3.45 pagi.

“Penahanan dibuat berikutan maklumat daripada bilik gerakan bomba Bandar Penawar, ekoran aduan daripada kru kapal yang ditahan Maritim Malaysia bahawa mereka dipaksa menerima kehadiran kapal tangki tidak dikenali yang merapat bagi melakukan aktiviti tidak diketahui.

“Zon Maritim Tanjung Sedili kemudian mengesahkan status aduan dengan menghubungi kapal yang ditahan sebelum sebuah kapal serta bot ronda Maritim Malaysia diatur gerak ke lokasi kejadian bagi mengesan kapal tangki yang dilaporkan.

“Berikutan itu sebuah kapal tangki yang berdaftar di Belize telah ditahan bersama 10 kru warga Indonesia berusia antara 24 hingga 60 tahun dan mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Nurul Hizam, pemeriksaan lanjut mendapati, kapal tersebut telah cuba melakukan aktiviti pemindahan minyak secara haram dengan kapal yang masih dalam tahanan pihaknya.

Katanya, nakhoda kapal juga telah gagal mengemukakan sebarang kebenaran bersauh dan kebenaran melakukan aktiviti pemindahan minyak.

“Nakhoda dan ketua jurutera kedua-dua buah kapal itu seterusnya dibawa ke pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili untuk sisatan lanjut untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Seksyen 491B (1)(K) iaitu menjalankan aktiviti STS tanpa kebenaran.

“Sekiranya didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Jelas Nurul Hizam, Maritim Malaysia juga akan sentiasa memastikan kedaulatan dan keselamatan perairan negara terjamin dan terpelihara.

Sebarang aduan salah lalu jenayah maritim di laut boleh menghubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian (07-219 9404) atau talian kecemasan MERS 999.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN