TEHERAN: Ketika ketegangan antara Iran dengan Amerika Syarikat (AS) semakin memuncak, akaun Telegram rasmi Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei menyiarkan semula satu amaran keras yang pernah dikeluarkannya terhadap Washington.
Amaran itu memperingatkan sebarang tindakan ketenteraan oleh AS akan membawa “kerosakan yang tidak dapat dipulihkan”.
Klip video yang dikongsi semula itu memaparkan Khamenei memberi amaran “penglibatan ketenteraan AS dalam konflik ini akan membawa padah yang jauh lebih besar kepada mereka berbanding apa yang mungkin dialami Iran”.
Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada ucapan beliau pada 18 Jun lalu, beberapa hari selepas Israel melancarkan serangan udara terhadap Iran dan Presiden Donald Trump menuntut “penyerahan tanpa syarat” daripada Teheran.
Dalam video tersebut, Khamenei turut menyelar retorik Trump sebagai “tidak masuk akal” dan menegaskan rakyat Iran “tidak gentar dengan ancaman” serta tidak akan tunduk kepada tekanan asing.
Pemerhati politik melihat langkah menyiarkan semula video itu sebagai isyarat bahawa kepimpinan Iran sedang memperkukuh naratif ketahanan nasional dan memberi amaran kepada Washington agar tidak melangkaui batas.
Ia juga sebagai usaha untuk menyatukan sokongan domestik dan serantau di tengah kemungkinan penglibatan langsung AS dalam konflik yang sedang berlangsung.
Sementara itu, laporan forensik video oleh media antarabangsa menunjukkan rakaman tersebut mungkin dibuat di lokasi baharu yang lebih selamat, berikutan penurunan kualiti audio dan visual yang ketara berbanding siaran rasmi sebelum ini.









