Jurutera wanita rugi RM430,000 diperdaya sindiket Macau Scam - Utusan Malaysia

Jurutera wanita rugi RM430,000 diperdaya sindiket Macau Scam

ELIAS OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang jurutera wanita mengalami kerugian RM430,151 akibat diperdaya sindiket Macau Scam di rumahnya di Taman Lunas, Kulim dekat sini, sejak Mei lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Elias Omar berkata, mangsa berusia 46 tahun itu menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki mengaku pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada pukul 11 pagi, 23 Mei lalu.

“Suspek memaklumkan wanita terbabit mempunyai tunggakan cukai syarikat yang didaftarkan atas nama mangsa sebanyak RM1,500,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, panggilan itu kemudian disambung ke ‘Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka’ untuk bercakap dengan seorang lelaki mengaku sebagai Sarjan Shahrizal yang memberitahu mangsa terlibat pelbagai kes jenayah.

“Mangsa seterusnya dihubungi seorang lelaki kononnya Datuk Seri Liu Wai Kit yang mengaku sebagai pegawai polis di Jabatan Siasatan Jenayah D9 di IPK tersebut.

“Suspek menyatakan mangsa terlibat dengan kes pengubahan wang haram dan pengedaran dadah serta ada waran tangkap terhadapnya,” jelasnya.

Kata Elias, suspek menawarkan tiga jalan penyelesaian kepada mangsa iaitu ditahan reman, akaun bank akan dibekukan atau memberi kerjasama dengan pihak polis.

“Akibat terpedaya, mangsa membuat pembayaran bermula 23 Mei hingga 8 Julai lalu dengan memasukkan wang ke tujuh akaun berbeza melalui pindahan dan mesin deposit tunai melibatkan 46 kali transaksi,” katanya.

Jelasnya, kesemua wang terbabit antaranya adalah wang simpanan mangsa sendiri, hasil gadaian barang emas dan pinjaman wang dari dua buah bank.

“Mangsa kemudian gagal menghubungi lelaki berstatus datuk terbabit dan bertindak menghubungi IPK Melaka untuk pengesahan dan mangsa menyedari ditipu.

“Mangsa membuat laporan polis pada 14 Julai lalu di Balai Polis Lunas dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN