SEREMBAN: Seorang juruteknik kilang kerugian sebanyak RM470,000 selepas terpedaya dengan ahli sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Negeri Sembilan, Superintenden Aibee Ab. Ghani berkata, mangsa iaitu seorang lelaki berusia 57 tahun menerima panggilan ketika di tempat kerja pada 7 Julai lalu daripada nombor 011-6839371 yang memperkenalkan diri sebagai David Simon iaitu wakil LHDN Alor Setar, Kedah.
Mangsa dimaklumkan telah disenarai hitam kerana tidak melunaskan pembayaran cukai tertunggak sebanyak RM17,600 atas nama Syarikat New West Enterprise yang didaftarkan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Alor Setar, Kedah.
“Penyamar menyatakan tangkapan telah dibuat terhadap satu lelaki bernama Mohd. Faisol Ariffin yang mana lelaki berkenaan dan mangsa memiliki akaun bersama yang didaftarkan atas nama syarikat berkenaan.
“Mangsa menafikan tuduhan tersebut dan panggilan disambung kepada Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah. Mangsa kemudiannya berurusan dengan Sarjan Sulaiman dan seorang lagi individu yang menyamar sebagai ketua Sarjan Sulaiman,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Aibee berkata, mangsa diarahkan untuk memberikan maklumat kesemua akaun bank yang ada berserta kata laluan dan nombor pada kad mesin juruwang automatik (ATM) yang mangsa serta turut diminta membuat beberapa transaksi ke akaun yang diberikan bagi tujuan pemeriksaan.
Menurutnya, mangsa juga telah menerima beberapa mesej di telefon bimbitnya yang kemudian diminta untuk ‘screenshot’ dan dihantar kepada ketua Sarjan Sulaiman melalui aplikasi WhatsApp.
“Mangsa mendapati terdapat transaksi wang yang berlaku apabila melihat semula mesej yang dihantar dan pada 9 Julai dan mangsa telah menghubungi pihak bank untuk menyekat ketiga-tiga akaunnya.
“Wang mangsa telah dipindahkan sekurang-kurangnya ke empat akaun suspek. Mangsa telah membuat laporan di Balai Polis Nilai, semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN










