Johor catat peningkatan keputusan STPM 2020 - Utusan Malaysia

Johor catat peningkatan keputusan STPM 2020

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2020 di negeri ini menyaksikan seramai 102 calon mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 iaitu peningkatan berbanding keputusan STPM 2019.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri, Mazlan Bujang berkata, keputusan itu merupakan peningkatan sebanyak 0.09 peratus.

Menurut beliau, daripada jumlah tersebut, 87 calon adalah daripada aliran Sastera manakala 15 calon lagi daripada aliran Sains dengan 59 calon perempuan dan 43 calon lelaki.

“PNGK negeri Johor bagi STPM 2020 ialah 2.89, peningkatan sebanyak 0.02 mata berbanding pencapaian STPM 2019 iaitu 2.87 mata dan PNGK peringkat nasional bagi tahun 2020 adalah 2.78.

“Dari segi kelulusan peringkat prinsipal bagi 2020, peratus calon yang lulus penuh 1 hingga 5 mata pelajaran adalah 99.55 peratus dengan 64 daripada 75 buah sekolah (85.33 peratus) mencapai kelulusan penuh 100 peratus.

“Seramai 178 calon lulus penuh lima mata pelajaran, 3,148 calon lulus penuh empat mata pelajaran, 545 calon lulus penuh tiga mata pelajaran, 249 calon lulus penuh dua mata pelajaran dan 120 calon lulus penuh satu mata pelajaran,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Mazlan, jumlah calon yang lulus penuh lima dan empat mata pelajaran juga meningkat 0.23 peratus iaitu daripada 77.81 peratus (3,873 calon) pada 2019 kepada 78.04 peratus (3,326 calon) bagi 2020.

“Bagi STPM 2020, dua calon mendapat keputusan terbaik iaitu Tio Guo Yong dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Habab, Kota Tinggi dan Intan Nurhidayah Lim dari SMK Dato’ Sulaiman, Batu Pahat.

“Sementara itu, antara sekolah yang menghasilkan ramai calon terbaik dalam STPM 2020 adalah Kolej Tingkatan Enam Pontian, Pontian; SMK Taman Johor Jaya (1), Pasir Gudang; SMK Tinggi Batu Pahat, Batu Pahat; SMK Sultan Ibrahim, Kulai; SMK Tun Dr. Ismail, Muar dan SMK Tasek Utara, Johor Bahru,” jelasnya.

Daripada 4,335 calon sekolah kerajaan yang telah mendaftar menduduki STPM 2020 di Johor, seramai 4,254 calon iaitu 98.13 peratus telah hadir menduduki peperiksaan berbanding 98.08 peratus yang hadir pada 2019.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya