PORT DICKSON: Seorang pelajar sekolah kerugian RM2,000 selepas berkenalan dengan seorang lelaki dari Amerika Syarikat yang memperkenal diri sebagai John Hamid melalui Facebook.
Ketua Polis Daerah, Superitenden Aidi Sham Mohamed berkata, mangsa seorang remaja perempuan berusia 16 tahun itu membuat laporan polis berhubung penipuan sindiket ‘parcel scam’, Sabtu lalu.
“Selepas dua minggu berkenalan, John Hamid menawarkan memberi hadiah berupa barang kemas, beg tangan dan kasut.
“John Hamid turut memberikan wang tunai untuk tujuan mangsa mencari rumah di Malaysia kerana suspek dikatakan mahu menetap di Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jelas Aidi Sham, mangsa kemudian menerima panggilan daripada ejen kurier di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) meminta mangsa memasukkan wang untuk urusan parcel tersebut ke alamat mangsa.
“Pembayaran RM2,000 dimasukkan ke dalam sebuah akaun tempatan.
“Setelah memasukkan wang itu, mangsa diminta masukkan wang lagi kerana terdapat wang tunai di dalam parce,l bagaimanapun mangsa tidak membuat kemasukkan tersebut,” katanya.
Tambah beliau, difahamkan mangsa meminta wang berjumlah RM2,000 itu daripada ibunya atas alasan untuk menguruskan parcel tersebut.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, Aidi Sham memberitahu, untuk rekod bagi tahun ini sahaja, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson telah menerima empat laporan polis dengan jumlah kerugian RM28,100 melibatkan modus operandi yang sama. – UTUSAN ONLINE










