Jiwa itu sudah hilang...- Jamal Abdillah - Utusan Malaysia

Jiwa itu sudah hilang…- Jamal Abdillah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERMULAANNYA kami berbual soal impak pandemik terhadap kehidupannya. Bagaimana dia dan keluarga menghirup udara pandemik yang seperti belum terlihat hujungnya. Santai dan senang sahaja.

43 tahun bermandikan populariti, nama Datuk Jamal Abdillah tidak usah kita perkenalkan. Dia satu dalam sejuta. Tipu jika ada yang tidak pernah mendengar namanya. Minat atau tidak, itu belakang cerita.

Tetapi bicara kami terhenti seketika di kala dia secara berseloroh menyatakan sudah tidak ada jiwa untuk menyanyi. Saya sendiri mengambil masa beberapa saat untuk menghadam kata-kata itu.

“Biar betul Datuk? Takkan tak nak menyanyi dah? Nak bersara? Atau berehat sementara?”

Bagai peluru mesingan soalan saya tujukan kepada permata seni negara yang tiada galang ganti ini.

“Tenang Aliff. Bukan mahu bersara atau berhenti menyanyi, tetapi buat masa sekarang ini jiwa itu seperti bergentayangan. Terawang-awang. Tidak tahu kenapa, mungkin sudah tiba masa untuk berehat sementara.

“Bila dapat tawaran persembahan, saya ambil masa juga untuk menyatakan persetujuan. Kadang-kadang saya macam sudah tidak berminat untuk memenuhi undangan persembahan. Entahlah,” kata penyanyi Seniman Menangis ini.

Walaupun kata-kata itu dilontarkan dengan santai dan berseloroh, namun bagi saya, itu satu berita duka. Andai benar Raja Pop Malaya ini mahu mengundurkan diri dari dunia seni, pasti ramai yang membangkang.

Namun jika difikirkan, lebih empat dekad dia menabur cinta, pasti ada lelah yang hadir akhirnya. Dalam hati sendiri, saya yakin dia cuma mahu berehat sementara. Memberi sepenuh masa kepada keluarga dan hidupnya.

“Sejujurnya, saya sudah lama tidak mendengar muzik. Kalau di rumah, saya tak pasang radio pun. Saya berbeza daripada segelintir pemuzik. Saya sekarang lebih banyak menonton dan membaca berita.

“Zaman anugerah atau populariti itu semua bagi saya sudah berlalu. Apa yang saya mahukan kini adalah ketenangan menjalani hidup apa adanya. Bahagia bersama keluarga, isteri dan anak-anak,” katanya.

Jutawan harta?

Terlintas di fikiran saya, adakah dia kini sudah berstatus jutawan? Sudah cukup kewangan untuk perlahan-lahan mengundurkan diri. Tidak perlu lagi menghiburkan peminat yang setia bersamanya.

Sengaja saya mengusik legenda muzik ini dengan soalan cepumas itu.Manalah tahu jika dia benar-benar sudah bergelar jutawan. Melirik mata kasar melihat kejayaan yang ditempa, itu bukan sesuatu yang mustahil bukan.

“Setakat ini Alhamdulillah, rezeki yang saya ada cukup untuk kehidupan. Malah, saya sebelum ini ada melabur dan memulakan perniagaan sendiri, jadi itu sudah mencukupi untuk kami anak-beranak.

“Sebenarnya, dengan perniagaan dan pelaburan yang ada, tidak perlu untuk saya bekerja lagi. Tetapi untuk majlis anugerah besar atau jemputan kenamaan, saya akan terima,” kata penyanyi bersuara emas ini.

Stamina di usia emas

Di tangga usia 62 tahun, Jamal masih penuh tenaga. Malah berbual dengannya selama hampir sejam juga tidak kedengaran lelah. Tertanya juga apakah rahsia yang diamalkan pelakon filem Azura ini.

Mengakui dirinya selalu bersenam dan sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat, bagi Jamal, di usia ini ditambah dengan kehadiran cahaya mata yang masih kecil, pastinya kesihatan harus diutamakan.

“Saya memang selalu berjoging dan bersenam. Selain untuk menjaga stamina dan tenaga ketika persembahan, kesihatan juga kena jaga. Lagipun, saya sebagai anak seni perlu menjaga keterampilan.

“Sejujurnya saya dari dahulu memang sentiasa mahu nampak kacak. Kena kemas dan bergaya. Bila kita sihat automatiknya suara kita pun kedengaran sihat. Kerjaya pun Insya-Allah dalam zon yang betul.

“Tetapi kalau tanya rahsia, saya sendiri pun tak tahu apa. Ada juga yang tanya rahsia dapat anak di usia 61 tahun, nak jawab pun susah. Jaga makan dan bersenam sahajalah kot,” selorohnya.

Konsert April 2022

Ditanya apa rancangan dalam kalender seninya yang terpaksa ditangguhkan sementara, Jamal berkata, dia terpaksa ‘melupakan’ hasrat untuk mengadakan konsert sempena empat dekadnya dalam industri seni suara.

“Sepatutnya tahun ini saya akan mengadakan konsert untuk menghargai petugas barisan hadapan yang telah mengorbankan masa dan kudrat untuk membantu kita. Tapi tak boleh buat dek Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Malah saya juga sepatutnya sudah sibuk menguruskan konsert empat dekad yang setakat ini terpaksa ditunda ke April tahun hadapan. Konsert itu bakal berlangsung di Istana Budaya tetapi kita tengok dulu keadaan.

“Kalau keadaan masih belum beransur pulih, mungkin kita akan tunda lagi. Bukan apa, kita tak mahu rugi. Daripada kita terpaksa tanggung kerugian, lebih baik tunda sahaja,” kongsi bapa kepada empat orang cahaya mata ini.

Ibarat kapal menanti karam

Tidak mahu terus berbicara dalam satu bulatan, saya bertanyakan soal usaha beberapa rakan penyanyinya yang terpaksa mencari sumber kewangan dengan mengadakan konsert secara maya di Facebook.

Meluahkan rasa simpati terhadap rakan-rakannya yang terkesan teruk dek pandemik inil, penyanyi Kekasih Awal dan Akhir ini mengakui industri seni tanah air kini dalam keadaan parah dan sangat menyedihkan.

“Saya cukup bersimpati dengan rakan-rakan. Industri kita sudah parah. Umpama kapal yang sudah bocor dan menanti karam. Saya berharap agar ada pelan tindakan khusus untuk membantu anak-anak seni yang terkesan,” katanya.

Turut merasai impak pandemik, suami kepada Zai Izzati Khiruddin ini tetap bersyukur kerana sikap berjimat cermat yang diamalkan dulu dapat membantu kelangsungan hidup di kala aktiviti seni tidak dapat diteruskan.

“Alhamdulillah, saya bukan jenis kaki enjoy. Lebih suka menyimpan dan mencari pelaburan yang bagus untuk tambah pendapatan. Setakat ini, hasil pelaburan itu saya boleh beri makan kepada keluarga. Malah saya juga ada ladang ternakan ikan.

“Sedikit sebanyak semua itu membantu. Kalau ikutkan sekarang, saya pun tidaklah terima semua tawaran persembahan. Ini semua kerana duit dividen hasil pelaburan pun sudah mencukupi. Saya hidup sederhana sahaja,” kata anak kelahiran Perak ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN