Jenayah komersial RM112 juta dilapor di NS sepanjang PKP

Jenayah komersial babitkan kerugian RM112 juta dilapor di NS sepanjang PKP

AIBEE AB. GHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebanyak RM112 juta nilai kerugian direkodkan membabitkan sejumlah 2,971 kes jenayah komersial di negeri ini yang dilaporkan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari 18 Mac tahun lalu sehingga 30 Jun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintenden Aibee Ab. Ghani berkata, jumlah berkenaan meningkat sebanyak 24 peratus bersamaan 581 kes berbanding tahun sebelumnya.

Jelas beliau, dalam tempoh yang sama tahun sebelum itu, sebanyak 2,390 kes telah dilaporkan dengan nilai jumlah kerugian sebanyak RM49.5 juta.

Menurutnya, peningkatan jumlah kerugian yang dicatatkan pula melebihi 100 peratus iaitu sebanyak 126 peratus bersamaan dengan RM62.6 juta.

“Terdapat lima kategori kes yang kerap dilaporkan serta menyumbang 73 peratus dari keseluruhan kes yang disiasat di negeri ini bagi tempoh kajian PKP. Kategori e-dagang iaitu belian secara dalam talian menyumbang 30 peratus kes serta peningkatan jumlah kerugian lebih RM3.7 juta.

“Pinjaman tidak wujud (PTW) pula menyumbang 20 peratus kes dan peningkatan jumlah kerugian lebih RM5.2 juta. Kategori penipuan pelaburan pula menyumbang sebanyak lapan peratus kes serta peningkatan jumlah kerugian sebanyak RM7.9 juta,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Aibee berkata, kategori penipuan telekomunikasi iaitu melalui talian telefon atau sistem pesanan ringkas Macau Scam pula menyumbang lapan peratus kes dengan jumlah kerugian lebih RM10 juta.

Menurutnya, kategori Love Scam pula menyumbang sebanyak lima peratus kes dengan jumlah kerugian sebanyak RM3.1 juta sepanjang PKP ini.

“Semua kategori kes ini menunjukkan peningkatan antara 27 hingga 104 peratus kecuali satu kategori iaitu penipuan telekomunikasi (Macau Scam) yang mencatatkan penurunan sebanyak 60 kes bersamaan 21 peratus,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN