PUTRAJAYA: Tiada kes wanita bergelang pink yang membawa ibunya di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines (MIECC), dekat sini hari ini.
Badan Bertindak Covid-19 Kebangsaan (CITF) menegaskan, hanya ada satu insiden melibatkan seorang wanita yang mempunyai janji temu telah hadir di MIECC tanpa mengetahui dirinya positif Covid-19.
“Perkara itu hanya diketahui apabila individu itu yang hadir untuk janji temu dihubungi pusat perubatan yang menjalankan ujian saringan ke atas beliau.
“Susulan itu, pihak pengurusan MIECC mengambil tindakan serta-merta dengan mengasingkan wanita terbabit manakala proses sanitasi menyeluruh juga terus dilakukan pihak bomba sebelum operasi PPV disambung semula,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu menyebut, semua penerima vaksin berjadual diingatkan supaya lebih bertanggungjawab sekiranya ada menjalani ujian saringan tetapi belum menerima keputusan rasmi.
“Sekiranya belum menerima keputusan negatif, individu terbabit tidak perlu hadir ke PPV,” katanya. – UTUSAN ONLINE










