Ivermectin: 'Sesiapa yang bukan doktor tak perlu berebut mendahului fakta kesihatan' - Utusan Malaysia

Ivermectin: ‘Sesiapa yang bukan doktor tak perlu berebut mendahului fakta kesihatan’

SHAHRIL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sistem perubatan Malaysia tidak boleh membuat keputusan mengikut teori atau populariti desakan ahli politik sebaliknya perlu berdasarkan mengikut data dan sains.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata. keghairahan ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) menyerang Datuk Seri Dr. Adham Baba berhubung isu penggunaan Ivermectin adalah sikap tidak bertanggungjawab apabila mendesak Menteri Kesihatan itu melanggar prosedur Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Menurut beliau, tindakan itu boleh mencetuskan implikasi besar apabila wakil rakyat yang tidak mempunyai kepakaran mendesak menteri menggunakan kuasa eksekutifnya mengetepikan prosedur yang diwujudkan untuk memelihara keselamatan rakyat.

“Dalam erti kata lain, menolak sistem dan prosedur kelulusan, menolak peranan penjawat awam dan pakar perubatan yang tidak terikat pun dengan mana-mana parti politik.

“Dalam soal ini bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dilihat tidak terikut rentak ini. Diharapkan beliau boleh main peranan mendidik rakan-rakannya dalam PH untuk sama bertanggungjawab. Jika seronok menghentam di Parlimen, tak semua yang nampak bulat itu mesti ditendang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam penggunaan ubat Ivermectin untuk merawat Covid-19 mencetuskan perang mulut antara beberapa ahli Parlimen pembangkang dengan Dr. Adham ketika Sidang Khas Dewan Rakyat.

Pertikaian itu timbul apabila Dr. Adham menjawab pertanyaan Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) berkenaan penggunaan ubat itu bagi merawat Covid-19 dengan beliau menjelaskan perkara itu bergantung kepada ujian klinikal yang sedang dilakukan.

Namun, jawapan itu tidak memuaskan beberapa ahli Parlimen pembangkang dengan menggesa Dr. Adham menggunakan budi bicaranya bagi membenarkan penggunaan ubat tersebut.

Tegas Shahril Sufian, sesiapa yang bukan doktor apatah lagi jauh daripada pakar perubatan penyakit perlu akur kepada pakar dengan tidak semua perkara ahli politik perlu berebut mendahului fakta kesihatan.

Jelasnya, semua pihak tanpa mengira fahaman politik wajar mematuhi sistem kelulusan yang telah terbina dan ditambah baik selama berpuluh tahun di dalam soal meluluskan penggunaan sesuatu ubat.
“Adakah Ivermectin berkesan untuk merawat Covid-19? Semestinya saya tidak tahu. Hanya data dan pakar perubatan dalam bidang yang tahu mentafsir data wajar membuat rumusan dan pendirian,” katanya.

Menurut beliau, pakar perubatan mempunyai pandangan berbeza tentang potensi Ivermectin tetapi majoriti besar setuju bahawa data belum mencukupi untuk suatu tahap keyakinan penggunaan tanpa kesan sampingan yang serius.

Tambahnya kerajaan India juga baru-baru ini telah memberhentikan Ivermectin untuk merawat Covid-19 walaupun negara itu sering dirujuk dalam penggunaan ubatan tersebut.

“Di Malaysia, ujian klinikal sedang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan dan akan berakhir bulan depan. Keputusan ujian tersebut akan dibentangkan September nanti.

“Kelulusan di Malaysia akan melalui prosedur NPRA dengan tidak akan meluluskan produk tanpa perincian yang mendalam,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN