PONTIAN: Masalah seorang pesara Kementerian Kesihatan yang terlantar sakit dan tidak mampu mengeluarkan wang pencen disebabkan terlupa kata laluan kad pengeluaran wang automatik (ATM) miliknya, akhirnya diselesaikan.
Ini berikutan, pengurus bank yang berkaitan berkunjung ke rumahnya hari ini untuk membantu Mohd. Ismail Markom, 71, menyelesaikan beberapa urusan termasuk proses pemindahan ke akaun isterinya.
Menurut anaknya, Ridhuan, 35, pada peringkat awal, pihak bank t mengeluarkan wang tunai sebanyak RM2,000 kepada ibunya, Kasmini Suratal, 67, manakala proses pemindahan pencen dilakukan pada minggu depan.
“Alhamdulillah semua sudah selesai, terima kasih kepada pihak Utusan Malaysia dan Kosmo! yang telah menyiarkan isu melibatkan ayah saya semalam, dengan pengeluaran itu kami dapat menampung perbelanjaan membeli keperluan ayah yang sedang sakit.
“Pihak bank juga memerlukan persetujuan kami enam beradik terutama empat adik beradik lelaki sebelum pemindahan pencen dilakukan kepada ibu supaya tiada isu berbangkit pada masa depan,” katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.
Utusan Online semalam melaporkan seorang pesara yang terlantar sakit berdepan masalah ekoran wang pencen bulanan yang diterimanya tidak dapat dikeluarkan sejak April lalu yang berjumlah RM800 sebulan.
Ini berikutan Mohd. Ismail yang terlupa kata laluan kad ATM miliknya tidak berupaya untuk membuat kad baharu ekoran keadaan diri selepas terlibat kemalangan jalan raya, 22 April lalu.
Anak-anaknya telah beberapa kali cuba berurusan dengan institusi kewangan berkenaan bagi mendapatkan kad ATM yang baharu, namun ditolak oleh pihak bank tersebut.
Ia berikutan, mereka memberikan alasan perlu mengikut prosedur kewangan di mana pemilik ATM sendiri perlu datang ke bank untuk mendapatkan nombor pin baharu, sedangkan Mohd. Ismail telah hampir empat bulan terlantar di atas katil.
Sementara itu, Ridhuan berkata, dia turut dihubungi oleh Pegawai dari Bank Negara Malaysia (BNM) Johor Bahru, malam tadi yang akan membantu menyelesaikan isu tersebut supaya pencen bapanya dapat dikeluarkan. – UTUSAN ONLINE