Ingkar SOP: 63 premis diarah tutup, 316 individu ditahan - Utusan Malaysia

Ingkar SOP: 63 premis diarah tutup, 316 individu ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bilangan pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) di seluruh negara semalam merekodkan 316 individu dicekup dengan seramai 296 dikompaun manakala 20 lagi direman.

Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sejumlah 63 premis meliputi masing-masing lima buah kilang, 55 premis perniagaan dan tiga tapak pembinaan juga diarahkan tutup kerana didapati ingkar SOP.

“Pasukan Task Force Operasi Pematuhan melakukan pemeriksaan ke atas 1,874 kilang, 15,116 premis perniagaan, 883 tapak pembinaan dan 226 asrama penempatan pekerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Hishammuddin, enam pendatang asing tanpa izin turut ditahan dan sebuah kenderaan darat disita semalam melalui Operasi Benteng bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan penularan Covid-19.

Menyentuh isu kuarantin wajib, katanya, 563 individu tiba di tanah air semalam dengan jumlah kumulatif seramai 258,485 diarahkan menjalani proses mandatori itu sejak 24 Julai 2020 lalu.

“Sejumlah 9,277 individu terbabit masih lagi menjalani proses kuarantin wajib di sebanyak 83 hotel serta 11 buah institusi latihan awam dan swasta di seluruh negara,” jelas Hishammuddin.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam membuat pemantauan 11 jenis bekalan barangan di 611 peruncit, 161 pemborong dan 32 pengilang termasuk melakukan sejumlah 1,999 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan hanya tiga premis yang terbabit telah dikenakan kompaun. – UTUSAN ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN