Penerjun muda dalam fasa pendedahan

Penerjun muda dalam fasa pendedahan

Atlet terjun, Nurul Farisya Alia Affendi (kiri) dan Nur Eilisha Rania Muhammad Abrar menunjukkan pingat emas yang dimenangi dalam acara 10 meter (m) platform seirama wanita Sukan SEA Thailand. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Skuad terjun negara kini dalam fasa peningkatan prestasi dan pencapaian di Sukan SEA Thailand menjadi titik permulaan kepada atlet-atlet pelapis.

Pengurus pasukan, Desdemona Mollon berkata, kebanyakan atlet yang tampil pada temasya dwitahunan itu sedang melalui proses meningkatkan darjah kesukaran dalam terjunan.

Katanya, pencapaian dalam temasya berkenaan adalah dalam jangkaan, selain mengambil kira pengalaman atlet Singapura dan Thailand yang pernah beraksi dalam beberapa edisi Sukan SEA.

Selain itu katanya, daripada enam penerjun yang dibawa ke Thailand, hanya dua mempunyai pengalaman beraksi pada Sukan SEA sebelum ini, iaitu Muhammad Syafiq Puteh dan Nur Eilisha Rania Muhammad Abrar Raj.

“Atlet yang dibawa kali ini adalah atlet pelais. Hanya Muhammad Syafiq berada di bawah program senior dan telah melengkapkan terjunan sepenuhnya.

“Dari segi prestasi penerjun, saya berpuas hati dengan tahap kesukaran mereka ketika ini dan mereka sebenarnya berada pada landasan yang betul untuk menjadi lebih baik,” katanya.

Menurut Desdemona, kem terjun mempunyai perancangan lebih besar pada tahun hadapan dan pihak pengurusan akan membuat pelbagai sistem kelayakan supaya Malaysia kekal melahirkan penerjun terbaik.

“Tahun depan akan menjadi batu loncatan yang lebih besar. Jauh lebih besar daripada Sukan SEA. Kita mahu ada kumpulan atlet yang besar, tidak kisah senior atau junior, kalau layak kita akan hantar,” katanya.

Kem terjun negara menamatkan kempen Sukan SEA Thailand 2025 dengan merangkul dua pingat emas dan satu gangsa dalam aksi di Pusat Akuatik, Kampus Universiti Assumption Suvarnabhumi di Samut Prakan.

Gandingan Yong Rui Jie dan Nurqayyum Nazmi Mohamad Nazim meraih emas acara tiga meter (m) papan anjal seirama lelaki, manakala Nur Eilisha bersama rakan gandingannya Nurul Farisya Alia Affendi menguasai acara platform seirama wanita.

Rui Jie turut membawa pulang pingat gangsa menerusi acara satu meter papan anjal lelaki.

Bagaimanapun, dominasi Malaysia dalam acara tiga meter papan anjal lelaki sejak edisi 2005, berakhir dengan keputusan menghampakan apabila tiada penerjun negara berjaya menaiki podium.

Walaupun persembahan kurang memberangsangkan dalam acara itu, Malaysia muncul juara keseluruhan dengan meraih dua daripada empat pingat emas yang dipertandingkan kali ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×