PADANG TERAP: Pemilik ladang lembu dan kambing, Abdul Hadi Yusof, 36, meluahkan rasa syukur apabila ibadah korban dibenarkan walaupun jualannya merosot kira-kira 50 peratus disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurutnya, ibadah korban yang dilaksanakan di rumah sembelihan di ladangnya mengikuti prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK).
Katanya, pada tahun ini, dia menerima tempahan sebanyak 50 ekor lembu untuk korban pada Hari Raya Aidiladha berbanding 100 ekor tahun lalu.
“Setiap haiwan ternakan hanya 12 petugas dibenarkan dari mula menyembelih, melapah dan memotong daging.
“Untuk edar pula, kami bekerjasama dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan(NGO) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk edarkan kepada asnaf dan orang ramai,” katanya ketika ditemui di ladang ternakannya di Tenang Agro Farm di Kampung Semeliang, Kuala Nerang di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE









