i-Citra guna Akaun 2 KWSP - Utusan Malaysia

i-Citra guna Akaun 2 KWSP

Kemudahan i-Sayang bertujuan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menggunakan dana simpanan di dalam Akaun 2 pemohon pengeluaran i-Citra.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, sebarang akses bagi pengeluaran Akaun 1 sebaliknya  hanya dilakukan sekiranya jumlah simpanan Akaun 2 pemohon tidak mencukupi.

Beliau berkata, semua ahli berusia di bawah 55 tahun adalah layak memohon i-Citra dengan jumlah pengeluaran sehingga maksimum RM5,000 tertakluk kepada jumlah baki dalam Akaun 1 dan 2.

Jumlah pengeluaran yang diluluskan itu akan dibayar bagi tempoh sehingga lima bulan dengan bayaran bulanan sebanyak RM1,000 serta tertakluk kepada baki simpanan atau minimum RM50.

“Jika jumlah (simpanan) Akaun 2 tidak mencukupi, barulah kita akan membenarkan pencarum mengeluarkan simpanan Akaun 1. Kami cuba mencari keseimbangan iaitu antara membantu ahli yang memerlukan dan pada masa sama memastikan agar mereka juga mempunyai simpanan mencukupi apabila bersara kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi ‘MIDF Conversations’ (Bicara MIDF) secara maya dengan Pengarah Urusan Kumpulan Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) Datuk Charon Mokhzani, di sini pada Khamis.

Kemudahan pengeluaran i-Citra itu merupakan kesinambungan inisiatif KWSP sebelum ini iaitu i-Sinar dan i-Lestari.

Menjelaskan selanjutnya, Amir Hamzah berkata, pengeluaran keseluruhan inisiatif i-Sinar dan i-Lestari itu itu berjumlah RM80 bilion.

“Kami (KWSP) ada dan telah diberi mandat untuk membantu ahli selepas bersara, namun pada masa sama, kami turut sedar bahawa pandemik Covid-19 ini satu keadaan luar biasa (di luar jangkaan).

“Oleh itu, kami memahaminya dan akan berusaha mencari jalan untuk membolehkan ahli-ahli, berdasarkan alasan, mendapat akses terhadap dana simpanan masing-masing,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya