PUTRAJAYA: Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) masih mempunyai bekalan peralatan perlindungan peribadi (PPE) mencukupi setakat ini.
HCTM dalam kenyataan menjelaskan, Jabatan Perubatan Kecemasan antara jabatan yang diberikan keutamaan dibekalkan PPE bagi keperluan jabatan tersebut.
Katanya, semakan stok di jabatan berkenaan juga mendapati tiada masalah kekurangan seperti yang dimaklumkan.
“HCTM juga ingin memaklumkan bahawa pemakaian PPE dalam kalangan anggota petugas barisan hadapan adalah berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) seperti dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Sehubungan itu, pihak HCTM UKM menafikan ketidakcukupan PPE seperti yang didakwa,” katanya hari ini.
Sebelum ini tular beberapa mesej menerusi aplikasi WhatsApp yang menyatakan kekurangan PPE di Jabatan Perubatan Kecemasan HCTM. – UTUSAN ONLINE










