PETALING JAYA: Hanya Pejabat Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan rasmi diputuskan dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN dan persetujuan bersama dalam kalangan pimpinan utama BN.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, beliau tidak dapat mengulas lanjut mengenai kenyataan itu memandangkan kesahihannya tidak dapat disahkan dan tiada pihak yang tampil mengaku bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan berkenaan.
“Saya dihubungi oleh pelbagai pihak dan media untuk mengesahkan surat tidak berlogo dan bernama yang tersebar sejak semalam berkaitan dengan ahli-ahli Parlimen BN.
“Saya tidak dapat mengulas lanjut mengenai perkara ini memandangkan kesahihan surat tersebut tidak dapat disahkan dan tiada pihak yang tampil untuk mengaku bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam satu kenyataan menyebut ahli-ahli Parlimen BN mengumumkan sepakat kekal menyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri untuk meneruskan agenda membela rakyat.
Menurut ahli-ahli Parlimen BN dalam satu kenyataan bersama itu, pendirian tersebut berdasarkan keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.
Zambry menegaskan sebarang langkah dan tindakan yang dikeluarkan oleh pihak tertentu bagi tujuan menimbulkan keraguan dan perpecahan dalam kalangan BN amat dikesali.
“Amalan kesatuan dan perpaduan di kalangan ahli-ahli Parlimen BN dalam menentukan sebarang keputusan bersama tetap terpelihara,” katanya.










