PUTRAJAYA: Hanya satu daripada 13 laporan polis dibuat berhubung isu suntikan vaksin Covid-19 kosong disebabkan kecuaian.
Perkara itu disahkan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin pada sidang akhbar hari ini.
Khairy berkata, kes itu dikesan berlaku di pusat pemberian vaksin (PPV) Kem Lapangan Terbang Sungai Petani, Kedah.
Menurutnya, kes itu adalah satu-satunya kes yang mana jururawat terbabit mengaku berlaku kecuaian disebabkan keletihan dialaminya.
“Amaran sudah diberikan kepada jururawat terbabit oleh Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan jururawat terbabit akan dikenakan tindakan tatatertib oleh Kementerian Kesihatan,” katanya.










