JOHOR BAHRU: Rakyat negara ini yang bekerja di Singapura dan sudah menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 merayu kerajaan melonggarkan syarat kuarantin untuk mereka ketika pulang ke tanah air bagi menjenguk ahli keluarga.
Melalui satu petisyen yang dilancarkan secara dalam talian, sekumpulan rakyat Malaysia berkata, ramai daripada mereka yang tidak pulang langsung sejak lebih setahun lalu berikutan pelbagai faktor termasuk perlu menjalani proses kuarantin selama 14 hari.
Jelas mereka, ramai rakyat Malaysia di Singapura juga telah menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 masing-masing, malah kes di negara tersebut hanya satu angka setiap hari dan rata-ratanya adalah kes yang berkaitan (kontak rapat).
“Kami rakyat Malaysia di sini merupakan economic frontliners kerana bekerja di sini dan menyalurkan wang kepada keluarga di Malaysia. Kami menyeru agar Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan membenarkan kemasukan dari Singapura untuk rakyat Malaysia yang sudah divaksin supaya tidak perlu menghadapi 14 hari kuarantin.
“Cadangan yang disyorkan adalah harus sudah menerima vaksin dua dos dan lebih daripada 14 hari. Keduanya adalah (ketika) tiba di Malaysia dan ambil ujian saringan PCR, kemudian dikuarantin satu hari sementara menunggu keputusan sebelum dibenarkan potong gelang dan keluar sekiranya keputusan negatif,” katanya.
Sementara itu, Utusan Malaysia yang melayari ke ruangan petisyen tersebut di https://www.change.org/p/majlis-keselamatan-negara-allow-malaysians-in-singapore-to-return-home-without-quarantine mendapati, hampir 14,000 peserta menandatangani petisyen itu setakat pukul 3.45 petang ini.
Seorang rakyat Malaysia yang menyertai petisyen itu, S. Mohana pada ruangan alasan menjelaskan, dia menurunkan tandatangan itu kerana rindukan keluarganya dan tidak mampu menyediakan kos yang tinggi untuk menjalani kuarantin yang mahal.
“Kami bukan jutawan untuk menanggung kos kuarantin sedangkan pada masa sama perlu menyediakan wang untuk keluarga tersayang. Sekiranya kami sudah divaksin, mengapa tidak benarkan kami masuk tanpa tempoh kuarantin (lama),” katanya.
Liew Poh Yoke juga menulis dia rindukan keluarganya apatah lagi ibunya yang sudah tua tinggal keseorangan di rumah.
“Saya sudah mengambil dua dos vaksin, diharapkan kedua-dua negara dapat mencapai keputusan baik dengan benarkan kami pulang melawat keluarga tanpa perlu kuarantin selama 14 hari.
“Bayangkan, di kedua-dua negara kami perlu kuarantin yang berjumlah keseluruhan 28 hari, jadi berapa hari sahaja yang tinggal untuk kami berada di kampung halaman,” katanya.










