Gunakan pembukaan sidang Parlimen, DUN sebaiknya demi rakyat - Utusan Malaysia

Gunakan pembukaan sidang Parlimen, DUN sebaiknya demi rakyat

MOHD. IZHAR AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pembukaan semula sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu digunakan sebaik-baiknya dalam membincangkan kaedah serta membantu mencari penyelesaian terhadap pelbagai masalah yang menekan rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Mohd. Izhar Ahmad berkata, tidak bermoral dan tidak wajar sekiranya pemimpin politik terus menghidangkan rakyat dengan konflik dan perbalahan.

Kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN Larkin itu, sudah menjadi tanggungjawab mereka untuk menyantuni masyarakat, khususnya di kawasan yang diwakili masing-masing.

“Rakyat sudah muak dan jijik dengan polemik politik berpanjangan yang dipersembahkan, malah mereka semakin tertekan serta dalam keperitan demi usaha menyara keluarga dan meneruskan kehidupan.

“Justeru, janganlah kita asyik menuding jari, melemparkan tohmahan serta mencaci dan gigih mencari kesalahan orang lain akibat perebutan kuasa demi kepentingan diri dan kelompok tertentu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar baru-baru ini memperkenan agar sidang DUN Johor dibuka semula pada 12 Ogos ini selepas kali terakhir bersidang Disember tahun lalu.

Baginda bertitah demikian selepas Yang di-Pertuan Agong turut berkenan menitahkan agar sidang Parlimen juga diadakan dengan segera bagi membincangkan permasalahan dihadapi rakyat ketika pandemik Covid-19 ini.

Mohd. Izhar berkata, pembukaan sidang Parlimen atau DUN yang direncana dalam masa terdekat itu juga perlu digunakan untuk membincang kaedah serta membantu mencari penyelesaian terhadap pelbagai masalah yang menekan rakyat.

“Usah jadikan sidang Parlimen atau DUN sebagai gelanggang berbalah dan menunjukkan siapa lebih hebat dan ingin menjadi ‘hero’. Semua wakil rakyat harus bersatu hati dan mengetepikan agenda peribadi.

“Zahirkan segala cadangan serta input bernas secara berhemah, kolektif dan holistik dalam menangani segala isu kemaslahatan yang dihadapi oleh rakyat dan negara.

“Kita perlu fokus dan bersama-sama menggembleng tenaga berusaha membantu rakyat dan negara yang sedang dalam kesusahan,” jelasnya.

Tambahnya, sidang Parlimen dan DUN bukanlah panggung bagi rakyat menyaksikan drama serta polemik politik dan sudah pasti bukan pentas bagi seseorang individu merealisasikan agenda peribadi mahupun parti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN