IJN hospital pertama di Malaysia capai pengesahan EMRAM Tahap 7 - Utusan Malaysia

IJN hospital pertama di Malaysia capai pengesahan EMRAM Tahap 7

Widi Salim (dua dari kiri), Pakar Strategi Kesihatan Digital, HIMSS Analytics Singapura, menyampaikan pengesahan **HIMSS EMRAM Tahap 7** kepada Ketua Pegawai Eksekutif **Institut Jantung Negara (IJN)**, Prof. Dato’ Sri Dr Mohamed Ezani Md Taib (dua dari kanan). Turut hadir ialah Dr Rhema Sundram, Ketua Pengalaman Pelanggan, IJN (kiri), dan Prof. Dato’ Sri Dr Alwi Mohamed Yunus, Pengarah Klinikal Informatik Kesihatan, IJN (kanan).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Institut Jantung Negara (IJN) mencipta sejarah apabila menjadi hospital pertama di Malaysia mencapai pengesahan Tahap 7 di bawah Electronic Medical Record Adoption Model (EMRAM) yang dibangunkan oleh Healthcare Information and Management Systems Society (HIMSS).

Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Mohamed Ezani Md Taib berkata, pencapaian itu mencerminkan komitmen berterusan institusi berkenaan dalam memperkukuh kecemerlangan digital serta meningkatkan keselamatan pesakit.

Menurutnya, pengesahan Tahap 7 membuktikan sistem digital yang digunakan IJN bukan sahaja maju, malah telah disepadukan sepenuhnya dalam penyampaian rawatan kardiovaskular.

“Pengesahan ini membolehkan pakar klinikal memperoleh maklumat tepat secara masa nyata sekali gus menyokong rawatan yang lebih selamat, cekap dan berkualiti tinggi kepada pesakit,” katanya dalam satu kenyataan.

EMRAM merupakan rangka kerja lapan peringkat yang diiktiraf di peringkat global bagi menilai sejauh mana hospital mengguna pakai serta mengintegrasikan Rekod Perubatan Elektronik (EMR) dalam amalan klinikal.

“Model berkenaan bukan sahaja menilai pelaksanaan sistem digital, malah tahap integrasinya dalam aliran kerja harian hospital termasuk bagi meningkatkan keselamatan pesakit, dokumentasi klinikal, pengurusan ubat, sokongan keputusan klinikal, analitik data dan operasi tanpa kertas,” jelasnya.

Tahap 7 merupakan tahap kematangan digital tertinggi yang menandakan persekitaran hospital sepenuhnya digital dan tanpa kertas, disokong keupayaan analitik data canggih serta struktur tadbir urus yang kukuh.

Hospital yang mencapai tahap tersebut turut menunjukkan aliran kerja klinikal yang lebih optimum, pengurangan kesilapan perubatan, proses rawatan lebih tersusun serta keputusan yang dipacu oleh data.

Pengesahan itu melalui proses penilaian antarabangsa yang ketat oleh HIMSS melibatkan semakan dokumentasi elektronik, demonstrasi sistem secara langsung, pengesahan aliran kerja serta temu bual bersama pasukan klinikal.

Sementara itu, Pengarah Informatik Kesihatan dan Pakar Perunding Kanan Pembedahan Kardiotorasik IJN, Alwi Mohamed Yunus berkata, pencapaian berkenaan menunjukkan transformasi digital di IJN telah sebati dalam budaya klinikal hospital itu.

Katanya, pasukan perubatan kini mempunyai akses kepada maklumat dan analisis yang boleh digunakan secara terus di titik rawatan bagi menambah baik laluan rawatan serta meningkatkan hasil kesihatan pesakit.

“Sebagai antara hospital terpilih di dunia yang mencapai status EMRAM Tahap 7, IJN sekali gus menetapkan penanda aras baharu dalam kecemerlangan penjagaan kesihatan digital di peringkat negara serta mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju serantau dalam rawatan kardiovaskular berasaskan teknologi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN