‘Greater Klang Valley’ ditubuh tangani isu kesihatan Lembah Klang

Pasukan bertindak khas ‘Greater Klang Valley’ tangani isu kesihatan Lembah Klang

DR. Adham Baba menunjukkan carta kes kematian akibat Covid-19 dalam sidang akhbar di Putrajaya hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebuah Pasukan Bertindak Khas untuk ‘Greater Klang Valley’ ditubuhkan sebagai memperkukuhkan kesiapsiagaan sistem kesihatan di Lembah Klang bagi menangani situasi semasa penularan Covid-19 di Selangor dan Kuala Lumpur.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, pasukan berkenaan yang sudah bermula semalam diketuai Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr. Chong Chee Kheong.

Beliau berkata, terdapat beberapa isu yang dikenal pasti untuk ditangani, namun isu kekurangan katil Covid-19 dan juga kekurangan sumber manusia merupakan isu kritikal yang perlu ditangani segera.

“Pasukan ini juga melihat skop lebih meluas, ia adalah sempadan pandemik. Walaupun dipanggil ‘Greater Klang Valley’, ia juga akan menyertakan bahagian selatan Perak, barat Pahang dan utara Negeri Sembilan selain akan ada pusat arahan bersepadu,” katanya dalam sidang media khas berhubung langkah kesiapsiagaan dan strategi Kementerian Kesihatan (KKM) menguruskan pandemik Covid-19 di Lembah Klang.

Adham berkata, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan Dan Sokongan Teknikal) Datuk Dr. Hishamshah Mohd. Ibrahim akan menggantikan tempat Dr. Chong yang sebelum ini di Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF).

Beliau menjelaskan, pasukan bertindak itu mengenal pasti langkah responsif dan pantas semua hospital di bawah KKM termasuk penglibatan hospital swasta untuk turut memberikan perkhidmatan perawatan pesakit Covid-19 khususnya di Lembah Klang.

Pada masa ini, kedua-dua negeri ini merekodkan jumlah kes positif tertinggi dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Adham turut memberitahu, pasukan bertindak tersebut diberi peranan untuk membuat persiapan rapi menjelang tempoh pelaksanaan darurat yang akan berakhir 1 Ogos ini terutamanya dalam hal pengambilalihan pengurusan dan kemudahan fasiliti milik pelbagai agensi dan kementerian akan terhenti.

Katanya, pelaksanaan darurat banyak membantu KKM ketika tempoh itu iaitu memasukkan 10 peruntukan dengan lima pindaan  Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan lima peruntukan baharu dalam Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (pindaan 2021) bertujuan menambah baik akta tersebut dan meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan mengekang penularan Covid-19.

Ujar beliau, beberapa keistimewaan lain seperti kuasa yang diberikan kepada pengamal perubatan swasta, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan lain-lain perkara akan berakhir, maka pasukan itu perlu melihat semula Akta 342 bagi memastikan ada peralihan selepas darurat tamat.

“Justeru, pada bulan terakhir ini penting untuk pasukan bertindak merangka dan bagi KSU (Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Mohd Shafiq Abdullah) membuat rundingan semula dengan kementerian seperti Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) kerana dengan Ordinan Darurat yang ada sekarang, kita boleh mengambil alih Hospital Pakar Kanak-kanak Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) tetapi apabila (darurat) tamat, kita tidak boleh lagi menggunakannya sebagai hospital Covid-19.

“Oleh itu, KSU dan Dr. Chong akan membuat perjanjian dengan KPT supaya penggunaan hospital itu diteruskan untuk merawat pesakit Covid-19,” katanya.

Dalam pada itu, Chee Keong berkata, pasukan bertindak tersebut  memberi tumpuan kepada isu-isu keperluan mendesak untuk memastikan katil, peralatan perubatan, sumber manusia dan perkara yang berkaitan dengan pengurusan kes ini dengan memastikan respon pantas diambil. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN