Gesa utama enam isu - Utusan Malaysia

Gesa utama enam isu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara menggesa beberapa isu diberi keutamaan dalam senarai atas menangani secara bijak dan berhemah bagi pengurusan Covid-19 di peringkat kebangsaan.

Pengerusinya, Datuk Razali Idris berkata, pihaknya mengambil serius terhadap beberapa isu besar pengurusan pentadbiran dan operasi kesejahteraan kesihatan awam yang perlu ditangani secara bijak serta berhemah.

Katanya, keputusan yang bijak dan tindakan segera adalah sangat penting kerana rakyat sentiasa menaruh harapan bagi setiap pelaksanaan strategik kesihatan awam di negara.

“Kami berharap isu doktor bertaraf kontrak diperhalusi termasuk skim itu dijadikan lebih bermanfaat dan menyakinkan. Adalah dicadangkan juga pegawai-pegawai kontrak itu diserap secara berfasa mengikut kepentingan dan keperluan tinggi bidang perubatan serta hospital.

“Kedua, isu pengurusan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) terutama di Lembah Klang hendaklah dinilai dan tambah baik, khususnya proses pendaftaran pesakit, bekalan tangki oksigen dan penambahan bilangan petugas kesihatan serta sokongan anggota petugas barisan hadapan yang lain. Penyebaran maklumat lokasi CAC menerusi pelbagai platform media hendaklah dilaksanakan secara meluas dan konsisten kerana orang ramai masih memerlukannya bagi mengelak sebarang kesesakan melampau di CAC tertentu.

“Ketiga, pendekatan Pusat PemberianVaksin (PPV) secara terus dari rumah ke rumah. PPV bergerak dan pemberian vaksin secara serta-merta tanpa melalui MySejahtera, terutama di kawasan luar bandar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Razali, kebenaran pembelian dos vaksin berskala besar perlu dibenarkan secara pemantauan rapi dan selamat kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat berkaitan pelaburan kerajaan (GLIC), anak-anak syarikat milik kerajaan negeri, syarikat-syarikat multinasional dan swasta demi kesejahteraan kesihatan awam pekerja masing-masing.

“Tidak terkecuali pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang boleh disasarkan kepada kumpulan tertentu seperti orang tua, gelandangan, orang kurang upaya (OKU), pesakit-pesakit bersasar, ibu tunggal dan anak-anak yatim.

“Kelima, penggunaan kaedah pengambilan sampel air liur bagi ujian saringan Covid-19 hendaklah disegerakan berdasarkan makluman awal bahawa pendekatan baharu saringan ini adalah lebih baik, lebih cepat, lebih selamat dan lebih berkesan serta lebih murah,” katanya.

Tambah beliau, kebenaran penggunaan ubat Ivermectin bagi merawat pesakit Covid-19 perlu disegerakan kerana keberkesanannya yang sangat tinggi dan bukti-bukti perubatan di negara luar yang berjaya mengurangkan kadar jangkitan harian.

“Kaukus turut menyokong saranan untuk membeli mana-mana vaksin yang sedia ada dan di iktiraf Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta mempunyai pensijilan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atas matlamat memastikan komuniti selamat dilindungi semua,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN