'Dulu jadi mangsa peras ugut khidmat seks, kini guna cara sama peras ugut orang lain' - Utusan Malaysia

‘Dulu jadi mangsa peras ugut khidmat seks, kini guna cara sama peras ugut orang lain’

KAD sim telefon pintar yang dirampas daripada seorang lelaki yang ditahan di Pontian, Johor yang memeras ugut mangsanya selepas menawarkan khidmat seks secara online.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Pengalaman menjadi mangsa peras ugut kerana cuba mendapatkan perkhidmatan seks secara online sehingga kerugian RM900 empat tahun lalu memberi idea kepada seorang lelaki untuk melakukan jenayah serupa.

Malah, suspek berusia 24 tahun itu mengaut lebih banyak keuntungan hasil pemerasan terhadap beberapa mangsanya yang cuba melanggan perkhidmatan seks secara online iaitu kira-kira RM34,000.

Bagaimanapun, lelaki itu menerima padah selepas ditahan polis di Pontian, Johor semalam susulan laporan dibuat salah seorang mangsanya di Barat Daya di sini pada 16 Julai lalu yang diperas ugut sebanyak RM450.

Menurut Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal, suspek mencari mangsa menggunakan gambar profil wanita berpakaian seksi menerusi aplikasi media sosial seperti Mi-Chat, WhatsApp dan sebagainya untuk menarik perhatian kononnya menawarkan perkhidmatan seks.

Katanya, suspek kemudian akan menghubungi atau dihubungi oleh mangsa secara rawak melalui aplikasi tersebut sebelum mesej perbualan mereka digunakan untuk memeras ugut iaitu akan disebarkan kepada kenalan atau keluarga mangsa menerusi aplikasi Facebook.

“Siasatan lanjut mendapati suspek mendapat idea untuk menjalankan modus operandi sebegitu kerana pernah menjadi mangsa pada 2017 dan mengalami kerugian RM900.

“Suspek juga telah terlibat dalam kegiatan ini sejak 2019 dan dipercayai telah memperoleh wang kira-kira RM34,000 hasil kegiatan jenayah ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Kamarul Rizal, ketika ditahan polis turut merampas sebuah telefon bimbit, sekeping kad ATM dan 28 keping kad sim pelbagai syarikat komunikasi daripada suspek.

Jelasnya, semakan juga mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau iaitu satu jenayah dan dua narkotik namun negatif dadah hasil saringan air kencing.

Tambahnya, suspek yang merupakan penganggur itu direman tiga hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

“Ekoran penahanan suspek, kita percaya dapat menyelesaikan sebanyak empat kes di negeri ini dan Selangor dan yakin berjaya menyelesaikan lebih banyak kes melibatkan modus operandi sama sepanjang siasatan dijalankan nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Kamarul Rizal turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyalahgunakan media sosial bagi tujuan tidak bermoral dan boleh mengundang kesalahan jenayah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya