KUALA LUMPUR: Selesai menjalani 10 kali rawatan radioterapi, penyanyi Elyana kini sudah boleh bernafas dengan lebih baik namun masih mengalami beberapa kesan sampingan kesan rawatan tersebut.
Elyana berkata, pada awal menjalani rawatan tersebut, dia berasa lebih sihat namun selepas selesai, mula mengalami kesan-kesan sampingan dan akan bertemu doktor untuk pemeriksaan lanjut.
“Alhamdulillah, sekarang boleh bernafas dengan baik. Kalau dulu 40 peratus, sekarang sudah 90 peratus. Tidak ada sesak nafas. Selera makan juga bertambah, cuma saya perlu kawal.
“Memang kesan radioterapi ini beberapa kali buat baru ada. Cuma mula-mula rasa okey, tetapi sejak beberapa hari ini saya seperti ada masalah. Jadi saya cepatkan janji temu dengan doktor untuk periksa,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Elyana sebelum ini mendapat perhatian ramai selepas mendedahkan kanser limfoma yang dihidapinya sejak 10 tahun lalu kini semakin serius dan sudah merebak ke rahim, hati dan pangkal paha.
Tambah penyanyi Kalis Rindu itu, dia kini terlalu paranoid untuk keluar rumah kerana risau dengan peningkatan kes Covid-19 yang bertambah serius hari demi hari.
“Saya jadi paranoid. Badan tengah lemah, jadi saya takut untuk berjumpa atau keluar rumah sekali pun.Malah saya juga berpesan kepada suami untuk amalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat jika mahu keluar,” katanya.
Dalam pada itu, Elyana juga menitipkan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua peminat yang mendoakan kesembuhan dan kesihatannya sepanjang dia menjalani rawatan radioterapi. – UTUSAN ONLINE