LANGKAWI: Seorang ibu tunggal bersama empat orang anaknya dihalau dari rumah sewa mereka di Kampung Mata Ayer, Bayas di sini kerana tidak mampu membayar sewa selepas kehilangan pekerjaan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ibu tunggal itu, Akma Zuraidah Md. Takudin, 39, berkata, dia dihalau dari rumah sewa itu pada 26 Jun lalu selepas tidak mampu membayar sewa rumah tersebut yang tertunggak selama dua bulan.
Menurutnya, mereka sekeluarga menyewa rumah tersebut dengan harga RM350 sejak lebih setahun lalu.
“Saya dan anak sulung, Qistina Batrisyia Abdullah, 17, sebelum ini bekerja di sebuah kedai makan dengan pendapatan RM40 sehari di Kedawang.
“Bagaimanapun kami hilang mata pencarian selepas kedai makan itu ditutup sejak PKP lalu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Tiga lagi anak Akma Zuraidah ialah Nur Fififieyna Batrisyia Abdul Hamid, 15; Muhammad Haziq Azfar Nazhan, 12; dan Nur Aufa Aisy Batrisyia, 8.
Sementara itu, Qistina Batrisyia telah berhenti sekolah kerana kesempitan hidup.
Akma Zuraidah berkata, pada masa ini, dia terpaksa menyewa sebuah bilik kecil di Kampung Paya Bakau, Kelibang di sini untuk keluarganya berteduh.
Katanya, bilik tersebut yang berukuran lebih kurang tiga meter panjang dan lebar disewa dengan harga RM250 sebulan.
“Saya dengan bantuan Qistina Batrisyia juga berniaga kuih yang diletakkan di lima kedai tetapi dua telah ditutup.
“Hasil jualan kuih itu saya cuma memperoleh pendapatan RM10 hingga RM20 sahaja, tidak mencukupi untuk perbelanjaan kami anak-beranak,” jelasnya.
Tambahnya, dia pada masa ini bergantung kepada sumbangan orang ramai seperti bakul barangan makanan dan makanan yang sudah dimasak.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Islam milik Akma Zuraidah iaitu 02066023633881.