Dera dua beradik: Suami isteri, anak saudara ditahan

Dera dua beradik: Suami isteri, anak saudara ditahan

AYOB KHAN MYDIN PITCHAY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sepasang suami isteri dan anak saudara perempuan mereka ditahan polis kerana dipercayai terlibat dalam jenayah penderaan membabitkan dua kanak-kanak lelaki masing-masing berusia 2 dan 3 tahun di sekitar Taman Bukit Kempas, di sini semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, polis menahan wanita berusia 37 tahun bersama suaminya yang berusia 57 tahun dan remaja perempuan bawah umur itu selepas menerima laporan pada pukul 5.31 petang semalam.

Menurut beliau, tangkapan terhadap ketiga-tiga suspek dibuat sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara.

“Berdasarkan siasatan, wanita berkenaan merupakan pengasuh kepada kedua-dua mangsa yang merupakan adik-beradik itu sejak 2018 lagi.

“Kedua-dua mangsa dipercayai telah didera pada 10 Jun lalu dengan cara dipukul, disepak dan dipijak. Kejadian dera itu dipercayai dilakukan suspek yang merupakan pengasuh dan juga ahli keluarganya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Ayob Khan, pemeriksaan dijalankan terhadap mangsa oleh Pegawai Perubatan Hospital Sultanah Aminah mendapati kedua-duanya mengalami kecederaan ‘soft tissue injury’.

“Kedua-dua mangsa yang merupakan anak kepada pasangan suami isteri yang bekerja sebagai operator kilang dan tukang masak itu kini sedang mendapatkan rawatan lanjut di hospital berkenaan.

“Suspek yang merupakan pasangan suami isteri itu dikenakan reman selama tujuh hari sehingga 23 Julai ini manakala remaja perempuan bawah umur itu direman selama tiga hari sehingga 19 Julai,” ujarnya.

Ayob Khan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun akan kedua-duanya jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN