TASEK GELUGOR: Hampir 500 penduduk di sini berjaya didaftarkan untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 menerusi Kempen Kesedaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dalam tempoh tujuh hari kempen itu berlangsung.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya berkata, perkembangan itu merupakan petanda positif dalam usaha kerajaan meningkatkan kesedaran penduduk bagi mendapatkan vaksin tersebut.
Menurut beliau, ketika ini rata-rata penduduk setempat yang datang untuk mendaftarkan diri secara manual sempena kempen itu terdiri dalam lingkungan usia antara 40 hingga 60 tahun dan ke atas.
“Apabila ditanya punca tidak mendaftar (dalam aplikasi MySejahtera), jawapan yang kita terima kebanyakannya adalah disebabkan alat telekomunikasi iaitu telefon yang tidak boleh digunakan untuk mengakses MySejahtera selain tidak tahu bagaimana untuk mendaftar.
“Justeru, dengan adanya kempen seperti ini, kita dapat menggalakkan lebih ramai penduduk untuk mendaftarkan bagi mendapatkan vaksin berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Kempen Kesedaran PICK itu dijayakan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tasek Gelugor dengan kerjasama daripada Pertubuhan Belia 4B Tasek Gelugor.
Dalam pada itu, Shabudin yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) memberitahu, Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tasek Gelugor bersedia menguruskan proses pendaftaran vaksin dari rumah ke rumah jika ada permintaan.
Pada masa sama kata beliau, pihaknya turut menyediakan sebanyak lima buah van yang digunakan untuk membawa mereka yang kurang berkemampuan tetapi telah mendapat jadual janji temu untuk ke pusat pemberian vaksin (PPV).
“Hasrat kita ialah memastikan seberapa ramai rakyat khususnya penduduk dalam kawasan Parlimen Tasek Gelugor ini mendapat vaksin sekali gus melindungi mereka daripada ancaman pandemik Covid-19 yang berbahaya ini,” katanya.










